Susulan nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka kertas siasatan terhadap syarikat pengendali bas yang terlibat dan berkemungkinan mengheretnya ke mahkamah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan siasatan ini berasaskan kegagalan serius syarikat dalam mematuhi peraturan keselamatan mandatori. Beliau menegaskan, pemilik syarikat pengendali turut memikul tanggungjawab meskipun mereka bukan individu yang memandu.
Apa pelanggaran yang dikesan pada syarikat bas tersebut?
Semakan audit mendapati syarikat bas itu gagal memenuhi ketujuh-tujuh komponen wajib Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA). Antara kelemahan paling ketara:
• Tiada penyelia keselamatan dilantik dalam syarikat
• Sistem GPS tidak diaktifkan untuk pantauan kelajuan
• Pemandu memandu melebihi had lapan jam tanpa pemantauan
• Tiada pemantauan waktu rehat 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan
• Ketiadaan pelan tindakan kecemasan
• Tiada hotline kecemasan syarikat disediakan
“Memang sebelum ini pun kita pernah dakwa pengendali syarikat di mahkamah. Mereka bukan pemandu, tapi tanggungjawab tetap ada. Dalam kes ini, JPJ patut buka kertas siasatan dan rujuk kepada Peguam Negara,” kata Loke ketika melawat lokasi kemalangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, DSP Muhammad Firdaus Abdullah turut mengesahkan bahawa pemilik syarikat telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik malam kelmarin bagi memberi keterangan.
Sekiranya hasil siasatan JPJ menunjukkan pelanggaran undang-undang yang jelas, kes ini akan dibawa ke pejabat Peguam Negara untuk pertimbangan pendakwaan. Ia bukan kali pertama syarikat pengangkutan disiasat secara langsung atas kecuaian operasi yang membawa kepada kematian.
Sumber: Bernama








