Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Inisiatif MyKiosk terus menerima maklum balas positif daripada peniaga kecil tempatan walaupun pelbagai isu tular diperkatakan mengenai inisiatif ini.
Menerusi satu video yang tular di TikTok, pengguna dikenali sebagai Abang Popia berkongsi pengalaman menggunakan kemudahan MyKiosk. Menurut Abang Popia, dia tidak lagi perlu berpindah-randah untuk berniaga.
“Kerja dah jadi lebih mudah sebab barang-barang boleh disimpan di sini. Tempat pun lebih teratur dan nampak lebih presentable,” katanya sambil menunjukkan ruang perniagaannya yang kemas.
Antara kelebihan ketara yang disebut adalah keselamatan struktur MyKiosk yang jauh lebih kukuh berbanding khemah biasa. Cuaca yang tidak menentu katanya menjadikan struktur sementara seperti khemah kurang sesuai untuk perniagaan.
Sebaliknya, MyKiosk yang dibina lebih kukuh memberi perlindungan lebih baik dan selamat kepada peniaga daripada risiko seperti angin kuat atau ranting pokok tumbang.
Tidak perlu risau tentang isu perlesenan
Tambah Abang Popia, dirinya bersyukur kerana dengan adanya MyKiosk peniaga tidak lagi perlu risau tentang isu perlesenan atau berniaga secara ‘rambo’, iaitu tanpa permit di tepi jalan. Perniagaan popia miliknya juga menjadi lebih selamat dan teratur.
Dia turut menekankan bahawa reka bentuk asal MyKiosk sudah cukup memadai untuk menjalankan operasi harian.
“Tak besar sangat, tapi cukup. Saya bersyukur sebab diberi peluang berniaga dalam keadaan yang lebih selesa dan sah,” ujarnya.
Pendedahan seperti ini membuktikan bahawa MyKiosk bukan sekadar sebuah struktur fizikal, tetapi merupakan satu inisiatif yang memberikan nilai tambah kepada kehidupan peniaga kecil yang merangkumi aspek kestabilan perniagaan, keselamatan, serta peluang untuk berniaga secara sah di ruang awam.
Sumber : TikTok Abang Popia








