Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 yang telah memegang lesen selama 10 tahun atau lebih akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, bermula 1 Oktober depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa pemohon perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan, termasuk menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160.
Perlu melalui amali selama 2 jam
Menurut Loke, pemohon perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar selama dua jam.
“Melalui program amali ini, pemohon mesti mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di IM. Pengesahan ini penting untuk memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang dalam mengendalikan motosikal berkuasa besar, demi meningkatkan keselamatan pemanduan,” katanya.
Loke menjelaskan bahawa, syarat program ini termasuk pemohon perlu memiliki LLM kelas B1 atau B2 secara aktif berterusan selama minimum 10 tahun. Ini bertujuan memastikan tahap kompetensi serta pengalaman pemanduan kenderaan motosikal sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.
Selain itu, pemohon juga perlu bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau apa-apa perkara yang belum selesai di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Pemohon juga perlu membuat pengesahan sihat tubuh badan, fizikal dan minda secara deklarasi kendiri.
Ketika ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan ini, termasuk melaksanakan semua perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM. Program peralihan ini tidak mempunyai tempoh tamat dan akan diteruskan hingga suatu masa yang akan ditentukan dan dimaklumkan kemudian.
Sebelum ini, kos mendapatkan LLM kelas B adalah RM900 serta perlu menjalani kelas teori selama dua jam dan latihan litar selama 9.5 jam. Ketika ini, terdapat lebih 10 juta pemegang LLM kelas B2.
Loke juga mengumumkan bahawa mulai 1 Oktober depan, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai. Dengan mendapatkan LMM motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah saja bagi kelas B1.
Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal dalam kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas ini untuk mendapatkan lesen kelas B.
Sumber: Berita Harian