Muhyiddin Yassin kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan batalkan 16 Seksyen Jenayah Syariah Kelantan - The Reporter

Muhyiddin Yassin kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan batalkan 16 Seksyen Jenayah Syariah Kelantan

Sumber gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan sebagai tidak sah telah menimbulkan kekecewaan dalam kalangan umat Islam di negara ini, termasuk Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh beliau semalam menerusi hantaran di Facebook, keputusan ini bermakna perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.

“Dengan keputusan ini, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.”

Beliau juga menzahirkan kebimbangan bahawa jika ada pihak yang mencabar kedudukan undang-undang Islam di negeri-negeri lain, undang-undang tersebut juga akan diisytiharkan tidak sah berdasarkan preseden yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin.

Walaupun beliau menghormati kuasa mahkamah untuk mentafsir undang-undang, beliau menekankan bahawa dalam sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa, Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat dan meminda undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya segera melakukan pindaan yang sesuai pada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan kedudukan undang-undang Islam sentiasa terjamin dan hak umat Islam di negara ini untuk dinaungi oleh undang-undang Syariah dalam kehidupan mereka sentiasa terpelihara.

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!