Mohammad Agus letak jawatan bukan kerana desakan, sebaliknya ada tawaran kerja baru - The Reporter

Mohammad Agus letak jawatan bukan kerana desakan, sebaliknya ada tawaran kerja baru

Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengesahkan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan di J-KOM yang disandang sejak 2 Feb lalu.

“Saya ada tawaran (kerja) baharu, tidak ada tekanan kepada saya. Jadi, apabila semuanya sudah disahkan, sama ada saya mahu bersara atau menjawat jawatan baharu yang lebih mencabar, tunggu berita itu.

“Kalau peletakan jawatan saya dipersetujui oleh Perdana Menteri nanti, saya akan meletakkan jawatan dengan serta-merta,” katanya.

Perdana Menteri kini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 di San Francisco, Amerika Syarikat dari 14 hingga 17 Nov ini.

Terdahulu, Mohammad Agus dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan berikutan disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranannya menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.

Beberapa pihak terutama wakil rakyat pembangkang turut menggesa J-KOM dibubarkan.

Sumber:Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!