Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Program Malaysia My Second Home (MM2H) bukan laluan pemberian kewarganegaraan, sebaliknya hanya menawarkan pas lawatan sosial jangka panjang kepada warga asing yang ingin menetap sementara di negara ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, program itu menyediakan kemudahan visa ulang-alik bagi tempoh antara lima hingga 20 tahun tanpa memberi sebarang laluan kepada status warganegara atau pemastautin tetap.
Menurut beliau, penjelasan itu penting bagi mengelakkan salah faham masyarakat terhadap tujuan sebenar pelaksanaan MM2H.
744 peserta MM2H beli hartanah sejak 2023
Mengulas perkembangan terkini, Tiong memaklumkan seramai 744 peserta MM2H direkodkan membeli hartanah di Malaysia sejak 2023 hingga 31 Disember 2025.
Warga China menjadi pembeli tertinggi dengan 304 unit, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40), Hong Kong (34), Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15) serta Indonesia dan Jepun masing-masing 14 unit.
Beliau berkata, kementerian turut menetapkan had pembelian hartanah mengikut kategori penyertaan, termasuk syarat minimum RM2 juta bagi kategori Platinum dan RM1 juta bagi kategori Gold.
Baca juga:
- Penceramah bebas dipenjara 10 hari gagal bayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiga
- Mengamuk di restoran, wanita dikenakan denda RM11,800
- Tiga kanak-kanak ditemui lemas dalam kolam kumbahan di Sibu
Terbuka kepada semua negara, tidak wajar dipolitikkan
Menjawab isu dominasi penyertaan dari negara tertentu, Tiong menegaskan program MM2H terbuka kepada pemohon dari seluruh dunia dan tidak seharusnya dipolitikkan.
“Jangan politikkan perkara ini. Pemohon dari negara Arab juga diterima dan ada yang membuat pembelian walaupun jumlahnya kecil.
“Kami akan terus memperhebatkan usaha promosi program ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan seramai 2,637 peserta lain masih dalam proses pembelian, termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli serta mengenal pasti lokasi hartanah yang sesuai.
Pas sah lima tahun, boleh diperbaharui
Tiong menjelaskan, MM2H merupakan pas lawatan sosial jangka panjang yang disahkan bagi tempoh lima tahun setiap sesi dan boleh diperbaharui sehingga mencapai had maksimum kategori masing-masing.
Katanya, peserta juga dibenarkan membuat lanjutan setiap lima tahun sekiranya masih berminat untuk terus menetap di Malaysia.
Tegas beliau, program itu tidak pernah membenarkan permohonan kewarganegaraan atau taraf penduduk tetap, selaras dengan dasar imigresen negara.
Sumber: Sinar Harian








