'Kita tak akan bawa kembali UPSR, PT3' – Menteri Pendidikan | The Reporter

‘Kita tak akan bawa kembali UPSR, PT3’ – Menteri Pendidikan

Menteri Pendidikan jelaskan UPSR dan PT3 tidak akan dibawa kembali, fokus pentaksiran holistik murid.
UPSR dan PT3 tidak akan dibawa kembali apabila KPM kekal dengan pendekatan pentaksiran holistik. | Sumber gambar: FB Fadhlina Sidek

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pentaksiran berasaskan peperiksaan seperti UPSR dan PT3 disifatkan tidak lagi sesuai dengan keperluan serta realiti murid masa kini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengulas pendirian kementerian sebelum ini berhubung hala tuju sistem pendidikan negara, beliau menegaskan pendekatan pentaksiran lebih holistik wajar diberi keutamaan berbanding menghidupkan semula sistem peperiksaan lama.

“Sebelum pengumuman hari ini (Selasa), apa yang kita pertahankan di peringkat kementerian? Kita pertahankan soal pentaksiran. Kita kata ‘we will never bring back’ UPSR PT3 kerana kita nak nak tumpu pentaksiran ini.

“Kenapa pentaksiran ini penting? Kerana dia adalah satu sistem, maknanya yang melihat kepada potensi anak-anak ini secara holistik, secara keseluruhan.

“Kita mesti (pandang) ke depan bila ke hadapan itu, soalnya bukan lagi yang tanya tadi? UPSR, PT3 bukan lagi, ia dah tak sesuai dengan zaman anak-anak kita,” katanya.

Baca juga:

Mengulas kebimbangan yang mungkin timbul dalam kalangan ibu bapa dan guru susulan perubahan pendekatan itu, Fadhlina menegaskan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia tidak seharusnya menimbulkan keresahan.

Beliau berkata, sistem baharu itu bukan peperiksaan berorientasikan tekanan, sebaliknya satu kaedah pengukuran pembelajaran yang lebih luas dan menyeluruh.

“Sebab itu saya minta ibu bapa dan guru-guru supaya tidak panik. Ini bukan sistem peperiksaan yang menekan murid,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi murid Tahun Empat dan pelajar Tingkatan Tiga sebagai pendekatan baharu dalam mengukur perkembangan pembelajaran, dengan ruang masa mencukupi untuk intervensi dan pengukuhan pembelajaran.

Sumber: Berita Harian

Related Posts