'Menitis air mata bila kenangkan nasib Hariz' - Bapa - The Reporter

‘Menitis air mata bila kenangkan nasib Hariz’ – Bapa

Kanak-kanak kehilangan penglihatan akibat kanser saraf tahap empat
Hariz, 2, kehilangan penglihatan akibat kanser saraf tahap empat, bapa hanya mampu berdoa.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Muhammad Hariz Iman, 2, disahkan menghidap kanser saraf tahap empat pada 5 Ogos tahun lalu, menyebabkan dia hilang penglihatan secara kekal.

Bapanya, Mohd Herman Rusli, 38, berkata perubahan itu amat sukar diterima kerana sebelum ini anaknya aktif seperti kanak-kanak lain.

“Dahulu dia bermain macam kanak-kanak normal lain, boleh nampak dan pegang mainan. Tetapi sekarang saya tak mampu tengok dia bermain walaupun hanya pandang dari jauh. Sampai sekarang saya masih menitiskan air mata mengenangkan nasib dia.

“Saya tak boleh tenung mata dia lama-lama walaupun ketika dia celik atau tidur,” katanya.

Menurutnya, kanser itu sukar dikesan kerana berada di dalam mata, namun kehilangan penglihatan anaknya jelas kelihatan.

“Pada awalnya, anak saya tak mahu berjalan dan nak berdiri pun takut, tetapi selepas tujuh bulan ini, nampak ada peningkatan,” katanya.

Selain rawatan kemoterapi, Hariz telah menjalani pembedahan membuang tumor di kelenjar adrenal.

Berkongsi simptom awal, Mohd Herman berkata, dia dan isterinya mula perasan bengkak kecil serta garisan biru di batang hidung anak mereka.

“Dia muntah selepas minum susu. Ada satu ketika dia tengok telefon dan rapatkan mata seperti tidak nampak tetapi kami tidak sedar kerana sangka ia perkara biasa untuk kanak-kanak. Kami bawa ke klinik tetapi doktor hanya bekalkan dengan ubat kerana syak dia jatuh.

“Dua minggu kemudian, kami tengok bengkak pada hidungnya makin besar dan kebetulan dia minta nak makan kek. Sebelum ini dia makan sendiri tetapi pada hari itu, dia seolah-olah sedang mencari dan meraba-raba kek di hadapannya.

“Ketika itu, kami mula sedar yang dia sudah hilang penglihatan dan bawanya ke salah satu hospital di Putrajaya sebelum ditahan wad. Pada 5 Ogos, dia disahkan menghidap kanser,” jelasnya.

Mohd Herman dan isterinya terus berharap akan ada keajaiban untuk mengembalikan penglihatan anak mereka.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Total
0
Share