'Menempatkan individu yang tepat di posisi yang sesuai' - Hannah Yeoh | The Reporter

‘Menempatkan individu yang tepat di posisi yang sesuai’ – Hannah Yeoh

Sumber Gambar: Facebook Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu membawa satu perubahan dalam barisan organisasi sukan dengan meletakkan individu yang tepat dalam kedudukan yang sesuai.

“Salah satu perkara utama yang saya ingin lakukan sebelum melengkapkan penggal saya sebagai menteri belia dan sukan ialah meletakkan individu yang tepat di posisi yang sesuai,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya terdapat pelbagai jenis jawatan dalam badan sukan yang dipilih oleh ahli mereka sendiri seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Mereka yang dipilih oleh orang lain, saya tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan. Itu dilakukan melalui proses demokrasi dan kita harus menghormatinya. Saya hanya boleh menukar atau mengeluarkan mereka yang saya lantik,” katanya.

Sumbangan bekas atlet negara

Menerusi hantaran di Facebook itu, Hannah menjelaskan dalam tempoh yang singkat sebagai Menteri, dia telah melantik ramai bekas atlet utama untuk membantunya. Ini kerana katanya, dia percaya bekas atlet memahami sukan dan keperluan atlet.

Dalam hantaran itu, dia menyebut beberapa nama yang banyak membantunya termasuk dalam jawatankuasa Road To Gold (RTG). Antaranya, Datuk Lee Chong Wei (badminton), Nicol David (skuasy) dan Datuk Mirnawan Nawawi (hoki).

Dalam pada itu, beliau turut memuji Nicol yang merupakan timbalan ketua kontinjen Malaysia (Timbalan Chef de Mission) pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang melakukan tugas dengan cemerlang.

“Saya berharap dia akan terus membantu dalam pembangunan sukan. Saya mahu memperkasakan atlet negara. Bekas atlet membantu atlet semasa dan akan datang kerana mereka tahu keperluan dan memahami atlet,” katanya.

Sumber: Hannah Yeoh

Related Posts