Menantu Muhyiddin Yassin didakwa hidup mewah di Timur Tengah | The Reporter

Menantu Muhyiddin Yassin didakwa hidup mewah di Timur Tengah

Adlan yang dikatakan hidup mewah di Timur Tengah
Gambar: Tangkap layar video NST.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan sedang menikmati kehidupan mewah di Timur Tengah, walaupun masih diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut laporan New Straits Times (NST), beberapa gambar yang dikongsikan kepada portal berkenaan menunjukkan Adlan bergaul dengan tokoh kenamaan Timur Tengah. Salah satu foto turut memperlihatkan potret seorang pemimpin negara Timur Tengah terpampang di latar belakang.

Sumber memaklumkan bahawa Adlan sering berulang-alik keluar masuk negara berkenaan untuk urusan peribadi, termasuk bermain golf di Thailand dan mengunjungi lapang sasar menembak.

Beliau dipercayai menetap di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Tinggalkan Malaysia selepas Muhyiddin dituduh

Adlan, 49 tahun, meninggalkan Malaysia menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdepan beberapa pertuduhan rasuah di mahkamah.

Empat hari kemudian, peguamnya, Mansoor Saat, 70 tahun, turut meninggalkan negara menuju ke Jakarta dan sejak itu tidak pulang ke Malaysia. Kedua-duanya kini dipercayai terus melarikan diri ke luar negara dan menjadi individu yang diburu oleh pihak berkuasa.

Baca juga:
Siasatan kes Biometrik bernilai RM595 Juta

Adlan dan Mansoor masing-masing berdepan dakwaan pecah amanah (CBT) berkaitan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), sebuah sistem keselamatan negara yang dibiayai melalui sukuk bernilai RM595 juta.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dalam kenyataannya pada Khamis lalu mengesahkan bahawa siasatan terhadap Adlan telah selesai, dan arahan pendakwaan telah dikeluarkan.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Ahmad Kushairi Abd Rahim, pula berkata pihaknya akan menyokong keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa Adlan dan Mansoor secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh).

“Semua kertas siasatan dan bukti sokongan telah lengkap dan diserahkan kepada AGC.Keizinan untuk mendakwa telah diterima pada 15 Ogos 2023,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan SPRM adalah untuk menegakkan undang-undang tanpa takut atau pilih kasih, dengan memastikan setiap tindakan telus, sah di sisi undang-undang, serta mematuhi protokol antarabangsa bagi tujuan ekstradisi dan pendakwaan.

“Setiap langkah, daripada siasatan hingga ke koordinasi dengan Interpol, dilaksanakan mengikut undang-undang dan ketelusan penuh bagi memastikan tiada individu, tanpa mengira status, berada di atas undang-undang,” jelasnya lagi.

Related Posts