Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun telah ditemui oleh orang awam di Pantai Leman pada jam 12 tengah hari Selasa. Penemuan ini dipercayai berkaitan dengan kes pembunuhan yang melibatkan bapa kandung mangsa.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan, terdapat kesan kelar pada leher mangsa yang menyerupai kecederaan yang dialami oleh dua beranak perempuan berusia 34 dan 10 tahun yang ditemui di dalam longkang di lokasi lain sehari sebelumnya.
Polis ketika ini sedang berusaha mengesahkan identiti mangsa melalui DNA dan tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang dipercayai dibunuh pada Ahad lalu.
Difahamkan, suspek mempunyai tiga orang anak dan tinggal di bangunan terbiar itu bersama keluarganya sejak seminggu lalu.
Pada malam Isnin, polis telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun di sebuah masjid di Bukit Pinang pada jam 9.05 malam, bersama anak lelakinya yang berusia lima tahun, yang berada dalam keadaan trauma.
Polis percaya pembunuhan ini berlaku kerana masalah keganasan dalam rumah tangga. Kesemua mangsa disyaki telah dibunuh pada Ahad lalu di dalam bangunan terbiar tersebut, sebelum dua mangsa dibuang ke dalam longkang berdekatan.
Pada malam kejadian, ada saksi mendakwa ternampak suspek bersama anak lelakinya berhampiran longkang di Jalan Pegawai, kira-kira dua kilometer dari bangunan tersebut dan terdengar bunyi sesuatu dibuang ke dalam longkang besar berkenaan.
Ujian saringan air kencing turut mengesahkan suspek positif amphetamine, methamphetamine dan mop.
Suspek bermungkinan mengalami tekanan keluarga dan berada di bawah pengaruh dadah yang mungkin menjadi punca keganasan rumah tangga ini.
Suspek kini ditahan reman hingga 26 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro, Kosmo Online








