Mayat janda anak dua dikerat, disumbat dalam beg merah - The Reporter

Mayat janda anak dua dikerat, disumbat dalam beg merah

Mayat wanita dalam beg pakaian

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Penduduk Desa Dadapan, Mukim Kendal, Daerah Ngawi, Jawa Timur, Indonesia, gempar apabila sebuah beg pakaian merah dijumpai dalam longkang berhampiran tempat pembuangan sampah pada Khamis, 23 Januari 2025. Beg itu mengandungi mayat wanita yang telah dibalut dengan kain cadar berwarna krim.

Seorang penduduk, Yusuf, 40, menemui beg tersebut ketika melalui kawasan itu.

“Saya buka plastik itu dan nampak beg pakaian. Bila dibuka, saya terkejut melihat ada mayat di dalamnya,” katanya yang kemudian terus memaklumkan kepada ketua kampung, dan menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ngawi, Superintendan Dwi Sumrahadi, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Uswatun Khasanah, 29, ibu kepada dua orang anak dari Daerah Blitar. Mangsa bekerja sebagai jurujual kosmetik di Tulungagung dan hanya pulang ke kampung seminggu sekali. Kali terakhir mangsa dapat dihubungi adalah pada Isnin, 20 Januari 2025.

Menurut Dwi, mayat mangsa dikerat kepada beberapa bahagian. Namun, bahagian kepala serta kaki mangsa tidak ditemui. Hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat sesak nafas yang mungkin berpunca daripada cekikan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian juga diperiksa untuk mengesan suspek. Polis percaya jenayah ini berlaku di tempat lain sebelum mayat dibuang di Ngawi.

Jenazah mangsa telah dibawa pulang ke kampung ibunya di Desa Sidodadi, Mukim Garum, Daerah Blitar pada Jumaat 24 Januari 2025. Ketua Kampung Sidodadi, Nahroni, memaklumkan keadaan mayat masih sama seperti sewaktu ditemui.

Polis kini masih meneruskan siasatan untuk mencari bahagian tubuh mangsa yang belum ditemui dan mengenal pasti suspek. – Agensi

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!