Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal yang ditunggang terbabas dalam kejadian lumba haram di Kilometer 11.5, Lebuhraya Guthrie arah utara, awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.27 pagi dan membabitkan tiga motosikal Yamaha Y15ZR yang hilang kawalan.
Menurutnya, siasatan mendapati motosikal pertama bergesel dengan motosikal kedua, menyebabkan kedua-duanya terhumban ke pembahagi jalan sebelum seorang lagi penunggang gagal mengelak lalu terbabas.
“Penunggang pertama tercampak ke dalam longkang pembahagi jalan, manakala penunggang kedua terjatuh di bahu jalan. Motosikal ketiga yang datang dari belakang tidak sempat mengelak lalu turut terbabit dalam kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua mangsa berusia 21 tahun dan merupakan lelaki tempatan. Penunggang motosikal pertama meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang lagi mengalami kecederaan di tangan serta kaki.
Pihak polis sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013-675631 bagi membantu siasatan.
Sebelum kejadian, video berdurasi satu minit 11 saat yang memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara berbahaya telah tular di media sosial. Polis menegaskan bahawa lumba haram bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.
Sumber: Harian Metro