Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pengerusi Star Media Group Berhad (SMRG), Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse memaklumkan, sidang media yang diadakan pada hari ini adalah untuk membentangkan program stesen Suria FM bagi tahun 2024. Selain itu, pihaknya juga mengambil peluang itu untuk memperkenalkan barisan penyampai radio baru.
Malangnya keputusan untuk tidak menyambung kontrak Tyzo atau Tuah Zulqarnain menyebabkan mereka dikecam teruk di media sosial. Maka dengan itu, pihaknya tampil memberi penjelasan mengenai apa sebenarnya yang berlaku, sekali gus menamatkan isu tersebut.
Penyampai radio datang dan pergi
“Malangnya daripada keputusan yang telah kita buat untuk tidak menyambung kontrak Tyzo, beberapa perkara negatif telah berlaku. Ini semua tidak kita jangkakan dan bukan yang dilakukan oleh Suria.
“Dalam masa satu minggu yang lalu, Jumaat 12 Januari 2024 adalah hari terakhir Tyzo go on air. Perkara-perkara negatif ini berpunca dari satu sebab sahaja dan ianya disebarkan melalui platform-platform digital, media sosial dan sebagainya.
“Dalam industri radio ini, penyampai datang dan pergi. Tidak menyambung kontrak seseorang penyampai bukannya satu perkara yang luar biasa. Ini bukannya pertama kali mahupun kali terakhir kontrak tidak akan disambung.
“Seperti apa-apa kontrak sekali pun, sebelum kita menandatangani kontrak itu, terma dan syarat jelas ditulis, dipersetujui dan kemudian ditandatangani.
“Lazimnya kontrak (yang ditawarkan) itu satu tahun. Jarang kita bagi lebih dari satu tahun dan kurang dari satu tahun. Melainkan ada sebab-sebab tertentu, kita boleh berbuat demikian.
Tyzo pilih sambung kontrak 6 bulan sahaja
“Pada 9 Oktober 2023, kontrak Tyzo tamat. Dua bulan sebelum itu iaitu Ogos 2023, kita berjumpa dengan Tyzo dan maklumkan kami nak menyambung kontraknya selama satu tahun. Terima atau tidak?
“Dia kata ‘Ya’, tetapi dia cuma mahu kontrak selama enam bulan sahaja. Sebab yang diberi adalah dia mempunyai rancangan lain, fokus pada bisnes, dan menurut pendapat saya, dia baru menang Anugerah Penyampai Radio Popular ABPBH 2023 pada bulan Julai. Dan mungkin kerana dia menang ABPBH, dia berpendapat dia lebih laku, dia boleh dapat tempat-tempat lain. Itu terpulang kepada dia.
“Jadi kami mengulangi, “Betul awak nak enam bulan?”. Dia kemudian meminta tempoh selama seminggu untuk membuat keputusan. Dan apabila dia datang semula, “Ya, saya nak enam bulan”.
“Perbincangan ini disaksikan oleh DJ Lin sebagai Pengurus Besar dan Bahagian Sumber Manusia. Jadi, kita bersetuju untuk tempoh selama enam bulan iaitu kontraknya bermula dari 9 Oktober 2023 hingga 9 Mac 2024.
“Tetapi sebelum perbincangan ini semua, Suria selalu berbincang dan meminta kelulusan daripada saya. Saya tidak mengenali Tyzo dengan rapat, sama juga dengan penyampai radio yang lain. Jadi apa saja keputusan yang saya buat bukan berasaskan peribadi tetapi berasaskan keputusan asas perniagaan.
Tyzo menang anugerah ABPBH 2023 tak beri kesan pada Suria FM
“Akibat daripada kemenangan Tyzo di ABPBH 2023, adakah ia memberi kesan kepada listenership Suria Petang meningkat? Tiada, bahkan ia menurun.
“Saya telah berfikir lama dan berpendapat, kita mesti memperbaharui Suria, buat sesuatu yang akan meningkatkan bilangan pendengar Suria.
“Selalunya dalam dua bulan sebelum kontrak itu tamat, kita akan maklumkan. Dan saya tanya adakah Tyzo bercakap apa-apa mengenainya? Tiada. Selepas saya mengkaji semua aspek, saya membuat kesimpulan yang Tyzo tidak lagi berminat untuk menjadi penyampai di Suria.
“Saya mahu mengambil peluang ini untuk memperbaharui Suria dan saya telah membuat keputusan yang kontrak Tyzo tidak akan disambung. Ini adalah keputusan dan tanggungjawab saya. Dan saya beritahu Suria, saya sendiri akan memberitahu keputusan ini kepada Tyzo.
“Dalam masa terdekat, Suria mempunyai perancangan untuk musim raya. Selalunya kita akan buat drama, video, lagu raya, pengiklanan, photoshoot dan banyak lagi.
“Oleh sebab Tyzo tidak lagi bersama dengan kita, jadi seeloknya dia tidak lagi on air apabila kita jalankan perancangan itu semua. Jadi, satu keputusan yang perlu dibuat adalah dia tidak lagi on air secepat mungkin. Walau bagaimanapun, gaji dia akan terus dibayar sehingga tarikh tamat kontrak.
“Lagi satu sebab adalah saya beritahu kepada pengurusan Suria, saya mahu penyampai-penyampai baharu bermula sekurang-kurangnya sebulan lebih awal sebelum kajian yang akan dijalankan dalam tempoh enam minggu. Oleh sebab itu, kita mahu para pendengar biasa dengan mereka.
Kata profesional, tetapi sebut ‘Terima kasih atas penganiayaan ini’?
“Pada 4 Januari saya berjumpa dengan Tyzo dan beritahu ini adalah keputusan yang dibuat saya dan kontraknya tidak akan dipanjangkan. Dan saya juga kata, selepas itu saya akan panggil masuk dalam bilik pengurusan Suria dan HR, ulangi apa yang saya katakan pada Tyzo supaya mereka tahu.
“Lagi satu saya minta pada hari terakhirnya on air, saya minta dia rakam video kerana saya tidak mahu dia kata macam-macam sebelum dia pergi. Tetapi dia kata dia tidak akan berbuat begitu kerana dia adalah seorang profesional.
“Jadi apa yang berlaku pada 12 Januari itu, dia tidak rakam. Sebaliknya dia buat live, dan dia minta salah seorang staff rakam video menggunakan telefon bimbit Tyzo dan saya rasa semua dah tengok video itu.
“Pada masa itu juga, DJ Lin naik ke studio sebab dia adalah pengurus besar yang mewakili Suria, untuk mengucapkan terima kasih, good luck dan sebagainya kepada Tyzo. Tetapi apa yang berlaku, di depan DJ Lin dia berkata ‘Terima kasih atas penganiayaan ini’. Kemudian dia ambil telefon dia dan sekali lagi mengulangi ‘Ini adalah satu penganiayaan’.
“Video tersebut telah menjadi viral. Dia sendiri memuat naik video itu di media sosial. Siapa yang mendengar dan melihat video itu akan bersimpati dengannya dan menyalahkan Suria.
Serang DJ Lin bermaksud serang Suria FM
“Disebabkan video itu, ramai netizen telah memuat naik bermacam-macam hantaran, tuduhan dan hampir semua hantaran ini mengecam DJ Lin, seolah-olah dia yang bertanggungjawab di atas kontrak Tyzo tidak disambung. Ada yang minta DJ Lin letak jawatan, dipecat, tuduhan dan tohmahan dilemparkan pada DJ Lin. Ini termasuk anak-anak DJ Lin sendiri yang menjadi sasaran serangan mereka.
“Akibatnya, siapakah sebenarnya mangsa? Mangsa sebenarnya adalah DJ Lin. Kredibiliti, reputasi DJ Lin menurun dan terjunam. Mungkin ini adalah tujuan menjatuhkan DJ Lin. Tetapi DJ Lin adalah pengurus besar Suria. Jadi jika ada sesiapa yang menyerangnya, bermakna mereka menyerang Suria.
“Saya dah kenal DJ Lin bertahun-tahun dan berasaskan pandangan saya, taat setia dan dedikasi DJ Lin terhadap Suria tidak patut dan tidak boleh dipersoalkan. Siang hari dia pengurus, malam hari dia penyampai. Hujung minggu, dia tidur.
“Tidak ada sebab untuk DJ Lin meletak jawatan atau dipecat kerana prestasi kerjanya memang bagus.
“Saya harap berikutan dengan ini akan tamat dan tidak akan dibangkitkan lagi. Walaubagaimanapun, saya ingin memaklumkan jika ada mana-mana pihak terus membuat kenyataan atau komen dan sebagainya, yang merupakan fitnah, kami berhak dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.