Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita dikenali sebagai Mami Naufal tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas videonya makan ketika siaran langsung di TikTok pada bulan Ramadan mencetuskan kecaman serta membawa kepada siasatan pihak berkuasa agama.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, Mami Naufal memaklumkan bahawa dia telah dipanggil dan disoal siasat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) susulan rakaman terdahulu yang tular.
“Saya memang tak ada niat nak menghina Islam”
Dalam penjelasannya, Mami Naufal berkata tindakannya ketika siaran langsung itu bukan bertujuan untuk menghina atau mempersendakan agama Islam.
“Semasa live itu, saya memang tak ada niat pun nak mencaci, nak menghina, nak menganjing ataupun nak mempersendakan ajaran agama Islam. Tujuan saya buat live itu hanya untuk bersantai-santai sahaja,” katanya.
Menurutnya lagi, dia mengakui perbuatannya makan ketika siaran langsung itu sebagai tindakan yang tidak beradab dan memahami ia telah menyinggung perasaan ramai umat Islam.
Baca juga:
- JPNPP siasat dakwaan murid Tahun Dua dipukul dengan pembaris
- ‘Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand’ – KPN
- Stadium Nasional Bukit Jalil kini TM Stadium Nasional, Stadium Putra jadi Unifi Arena
“Saya akui kesilapan dan mohon maaf”
Mami Naufal turut menjelaskan bahawa dia tidak berpuasa ketika kejadian tersebut berlaku, selain mengakui kesilapan yang dilakukan.
“Saya juga mengakui kesilapan saya dan tidak akan mengulanginya lagi. Dengan rendah diri saya memohon maaf daripada atas rambut sampai hujung kaki kepada semua umat Islam,” katanya.
Dalam video sama, dia berharap permohonan maaf tersebut dapat diterima oleh masyarakat.
“Saya berharap dengan video permohonan maaf ini, semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam dapat memaafkan saya di atas perbuatan saya yang tiada adab ketika itu,” katanya lagi.
Katanya, insiden itu akan menjadi pengajaran buat dirinya supaya lebih berhati-hati pada masa hadapan.








