Anwar nafikan Malaysia tunduk kepada AS, tetap lantang bela Palestin | The Reporter

Anwar nafikan Malaysia tunduk kepada AS, tetap lantang bela Palestin

Donald Trump dan Anwar Ibrahim berpakaian sut formal berdiri bersebelahan di hadapan latar biru dengan bendera di belakang.
Dua pemimpin, Donald Trump dan Anwar Ibrahim, bergambar bersama dalam sesi rasmi. | Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri, Facebook Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak pernah tunduk kepada Amerika Syarikat (AS) meskipun menandatangani perjanjian perdagangan dua hala dengan Washington baru-baru ini.

Menurutnya, biarpun perjanjian itu dilihat seolah-olah lebih menguntungkan AS, ia tidak menjejaskan kebebasan Malaysia untuk terus menjalinkan hubungan strategik dengan kuasa besar lain seperti China dan Rusia.

Diplomasi seimbang: Malaysia terus bebas berurusan dengan China

Anwar berkata, Malaysia tetap berpegang pada dasar luar bebas dan pragmatik, termasuk komitmen dalam sektor nadir bumi, semikonduktor dan maritim.

Beliau menegaskan, sehari selepas Presiden AS Donald Trump meninggalkan negara ini, Malaysia menandatangani Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0, sekali gus membuktikan negara tidak terikat kepada mana-mana blok.

“Kalau takut dengan Amerika, tak mungkin kita sign dengan China sehari selepas Trump pulang. Inilah kebijaksanaan diplomasi negara,” katanya.

Baca juga:

Suara Palestin disampaikan terus kepada Trump

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, Anwar menjelaskan beliau menyampaikan sendiri pendirian Malaysia mengenai kekejaman di Gaza kepada Trump, bukan hanya dalam mesyuarat rasmi, tetapi juga pertemuan empat mata di dalam kenderaan rasmi presiden AS, The Beast.

Katanya, usaha diplomatik itu sekurang-kurangnya membawa kepada hentian serangan dan menolak rancangan penaklukan Tebing Barat, walaupun penyelesaian menyeluruh belum dicapai.

Anwar juga kesal apabila masih ada pihak yang mempolitikkan isu Gaza, sedangkan beliau bertanggungjawab membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa bagi mempertahankan hak rakyat Palestin.

Beliau menegaskan Malaysia antara pihak yang mendesak penyelesaian komprehensif yang merangkumi pengiktirafan negara Palestin dan kedudukan Tebing Barat dan pendirian itu dinyatakan secara langsung di hadapan Trump.

Dalam pada itu juga, Anwar menjelaskan beliau tidak mengharapkan sokongan peribadi, sebaliknya berharap rakyat menyokong pendirian tegas Malaysia di pentas antarabangsa ketika berdepan kuasa besar.

“Tidak payah sokong saya. Tetapi bila kenyataan ini kita lakukan, berilah sokongan kepada pendirian Malaysia,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Related Posts