Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebanyak RM500,000 disumbangkan oleh kerajaan negeri Johor untuk negeri-negeri yang terjejas dengan musibah banjir di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, bantuan tersebut diberikan sebagai tanda keprihatinan sesama ummah.
Peruntukan khas tersebut juga katanya akan disalurkan menerusi Majlis Agama Islam negeri itu.
“Susulan bencana banjir yang semakin teruk, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menyalurkan sumbangan sebagai tanda keprihatinan untuk mangsa banjir.
“Peruntukan RM500,000 itu akan diagihkan menerusi Majlis Agama Islam yang berkenaan,” katanya.
Negeri Pahang pula dilaporkan menjadi negeri terbaharu dilanda musibah banjir dengan mencatatkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat sebanyak 152,377.
Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di 284 PPS di situ mencecah 96,743 orang daripada 29,928 keluarga setakat ini berbanding 93,158 orang malam tadi.
Di Terengganu pula, jumlah mangsa semakin bertambah kepada 43,281 orang berbanding 41,409 yang dilaporkan malam tadi, membabitkan 11,679 keluarga yang berlindung di 305 PPS di kesemua lapan daerah terjejas di negeri berkenaan.
Sumber: Malaysia Gazette








