Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini membebaskan penyanyi dikir barat, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, bersama suaminya, Mohd Affendi Ahmad, serta empat individu lain daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat panel dua hakim selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV), yang menunjukkan bekalan dadah tersebut dibawa oleh individu lain.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh tetap menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan mengambil dadah dan dikenakan denda 4,000 baht (RM526) setiap seorang. Namun, tempoh pemenjaraan itu telah pun selesai atas alasan kelakuan baik.
Dua daripada mereka, Erdeka Mohd Noor dan Zuhaira Nasrin, turut dikenakan denda tambahan RM526 kerana memasuki Thailand tanpa dokumen sah.
Peguam yang mewakili Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz, menjelaskan bahawa meskipun mereka telah dibebaskan daripada pertuduhan utama, mereka masih perlu berada di penjara sekurang-kurangnya sebulan hingga empat bulan sementara menunggu sama ada pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan.
“Jika tiada rayuan dalam tempoh sebulan, kes ini akan dianggap selesai sepenuhnya. Namun, kebiasaannya pendakwaan akan mengemukakan rayuan dalam tempoh tersebut,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Eda Ezrin, Zahara Mamat, 47, meluahkan rasa syukur atas keputusan mahkamah selepas empat bulan berdoa tanpa henti. “Saya tidak pernah tidur lena sejak anak saya ditahan, tetapi hari ini akhirnya saya boleh pulang dengan tenang,” katanya.
Sumber: Harian Metro