Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Mahkamah Rayuan putuskan Syed Saddiq tiada niat jenayah, semua tuduhan digugurkan
• SPRM tetap mahu bawa kes ke Mahkamah Persekutuan untuk cabar keputusan tersebut
• Orang ramai berbelah bahagi – ada yang sokong Syed, ada yang pertikai tindakan SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan hasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan jenayah.
Mahkamah Rayuan terdahulu memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam semua pertuduhan ke atas Syed Saddiq, termasuk pecah amanah, penyalahgunaan harta dan pengubahan wang haram. Justeru, mahkamah membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan sebatan enam kali yang dikenakan sebelum ini.
Apa kata mahkamah?
Dalam penghakimannya, panel tiga hakim menjelaskan bahawa tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran dana daripada akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak membuktikan wujudnya niat tidak jujur. Mahkamah juga menegaskan tiada sebarang bukti menunjukkan wang itu digunakan untuk kepentingan peribadi.
Keputusan ini disambut dengan rasa lega oleh Syed Saddiq dan keluarganya yang dilihat menangis sebak di luar mahkamah. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada peguam, penyokong dan pihak yang percaya kepada keadilan.
Kenapa SPRM mahu rayu?
Walaupun Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang kukuh, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Menurutnya, langkah itu penting untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pengurusan dana politik dan prinsip undang-undang yang terlibat.
Sementara itu pakar undang-undang menjelaskan, rayuan di Mahkamah Persekutuan perlu menunjukkan kesilapan undang-undang dalam keputusan Mahkamah Rayuan. Jika rayuan hanya berdasarkan fakta sedia ada tanpa bukti baharu, peluang untuk keputusan itu dibatalkan adalah sangat tipis.








