Seorang peniaga di platform Shopee dikecam teruk oleh netizen kerana sewenang-wenangnya menciplak produk sambal terkenal, Sambal Nyet, yang diusahakan oleh pempengaruh, Khairul Aming.
Netizen mengecam tindakan peniaga tidak bertanggungjawab itu yang dikenali sebagai Khairi.
“Macam tu je kau copy bang, senang kerja erk?! Nampak sama tapi bukan dia, design luar dalam semua sama. Tukar nama dan muka, jadilah produk baru. Dah la harga pun dah nak samaa,” kata pengadu.
Menurut pengadu, produk tiruan itu telah dijual beribu unit di platform berkenaan. Ada segelintir pengguna mengakui mereka hampir terbeli produk tersebut. Namun tidak diteruskan selepas menyedari produk itu bukanlah Sambal Nyet yang asli.
“Sumpah hari tu dah hampir terbeli. Dah add to cart, tinggal nak checkout je. Pastu baru perasan kenapa ‘Khairi’ pulak ni? Nasib baik sempat remove,” kata netizen.
Netizen juga mengecam sikap peniaga terbabit yang tidak beretika dan sanggup meniru produk peniaga lain semata-mata mahu mendapatkan keuntungan dengan cara cepat dan mudah.
“Parah dah ni, tak gentlelah main tiru-tiru. Try buat semua sendiri tengok laku ke tak. Baca review pun hmm,” kata netizen lain.
“Senangnya laa kerja, Khairul Aming punyalah bertahun membina nama dan sekarang baru nak merasa hasil usaha. Orang lain senang-senang jer nak tiru. Inilah dunia berniaga dekat Malaysia,” tambah netizen lain.
Bagaimanapun semakan mendapati akaun peniaga berkenaan telah dinyahaktifkan selepas perkara itu tular di media sosial. Setakat ini tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Khairul Aming berhubung perkara itu.
Sumber: X