Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Golongan berpendapatan sederhana (pertengahan) atau lebih dikenali sebagai kumpulan M40 dikatakan semakin terhimpit dengan tekanan kos sara hidup yang kian meningkat.
Seorang pengguna media sosial meluahkan perasaannya mengenai beban yang ditanggung oleh golongan ini yang sering kali terlepas pandang dalam pelaksanaan dasar kerajaan.
“Aku tak tahu lah korang setuju ke tak, tapi bagi aku antara golongan paling tersepit sekarang ni — M40,” tulisnya.

Menurutnya, dengan pendapatan antara RM5,000 hingga RM11,000 sebulan, ramai dalam kalangan M40 kini berada dalam dilema kewangan. Antara cabaran utama yang disebut termasuklah cukai pendapatan, tiada kelayakan untuk menerima bantuan kerajaan serta pengurangan subsidi barangan asas.
“Cukai kena. Income tax pun jalan. Bantuan majoriti tak layak. Subsidi makin kurang, harga barang makin naik,” katanya.
Apa yang lebih menyedihkan, katanya, ialah ada yang menanggung keluarga seorang diri tanpa sokongan pasangan yang bekerja terutama keluarga yang mempunyai anak kecil.
“Lagi sedih bila jenis yang kayuh sorang-sorang, bini tak kerja, anak kecik, semua benda nak kena tanggung sorang.
“Nak kata miskin, tak cukup syarat. Nak kata senang, jauh lagi,” katanya.
Luahan tersebut mendapat perhatian netizen yang turut bersetuju dan berkongsi pengalaman masing-masing sebagai sebahagian daripada golongan M40 yang semakin tertekan.
Hantaran dari golongan bujang juga tular apabila menyatakan mereka juga seolah terhimpit dengan situasi kos hidup.









