Lori gula terbabas, 2 pemandu lori maut dengan satu daripadanya ditemui berkecai - The Reporter

Lori gula terbabas, 2 pemandu lori maut dengan satu daripadanya ditemui berkecai

Dua lelaki pemandu lori meninggal dunia dengan satu daripadanya ditemui dalam keadaan berkecai, dalam kemalangan ngeri yang melibatkan tiga lori dan empat kereta di KM 288.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di laluan antara Gopeng ke Simpang Pulai, dekat Kampung Tersusun Tekah, pada 3 Februari 2024.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 7.46 pagi dan kedua-dua mangsa iaitu pemandu lori gula pasri dan pemandu lori muatan logam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pasukan bomba yang dikerahkan ke lokasi, telah membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Salah seorang mangsa, M Kesavan, 45, adalah pemandu treler muatan gegelung besi. Menurut isterinya, S Kaliswari, 44, suaminya baru sahaja mula bekerja dengan syarikat berkenaan selepas Thaipusam dan belum sempat menerima gaji pertama.

“Malam tadi, kami sempat berbual sebentar melalui panggilan telefon. Dia beritahu tak sabar mahu luangkan masa hujung minggu bersama anak-anak,” katanya.

Mayat mendiang Kesavan akan dibawa pulang ke Kepala Batas untuk disemadikan sebaik urusan bedah siasat di HRPB selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisoner Yahaya Hassan berkata, treler muatan gula pasir yang terlibat dalam kemalangan itu mempunyai dua rekod saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Secara keseluruhan, terdapat 13 mangsa berusia antara tujuh hingga 65 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu, termasuk dua yang meninggal dunia dan seorang lagi yang patah tangan. Mangsa lain tidak mengalami kecederaan.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!