Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan penyediaan minuman beralkohol dalam pesawat adalah amalan biasa dalam industri penerbangan antarabangsa dan dibuat atas faktor komersial, bukan isu agama.
Beliau menolak keperluan menjadikan perkara itu perdebatan politik, lebih-lebih lagi apabila ia telah diamalkan sejak sekian lama dalam sektor penerbangan global.
Menurut Loke, Malaysia Airlines (MAS) tidak menghidangkan alkohol bagi penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa kurang tiga jam.
Beliau turut menegaskan syarikat penerbangan negara majoriti Islam lain termasuk Emirates, Etihad Airways, Qatar Airways, Gulf Air, Turkish Airlines dan Garuda Indonesia turut menyediakan alkohol kepada penumpang bukan Islam. Bagaimanapun katanya, destinasi sensitif seperti Jeddah dikecualikan daripada minuman tersebut.
“Ia bukan perkara baharu. Dah berpuluh tahun diamalkan,” katanya semasa penggulungan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Rabu, 29 Oktober 2025.
Baca juga:
- Bank Dunia cadang umur keluar KWSP dinaikkan sehingga 70 tahun
- Gelandangan kini semakin ‘memilih’ makanan akibat agihan berlebihan – Zaliha
- Anwar Ibrahim kini tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh dunia 2026
Jangan dipolitikkan
Terdahulu, isu itu dibangkitkan oleh Mohd Hasnizan Harun (PN–Hulu Selangor) dan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) yang mahu ia dihentikan atas alasan menimbulkan rasa tidak selesa kepada Muslim.
Loke menegaskan penyediaan minuman itu perlu dilihat dari sudut objektif kerana ia sebahagian daripada operasi komersial syarikat penerbangan.
“Mungkin tak ada kepentingan untuk YB (Hulu Selangor), tapi untuk syarikat penerbangan mereka ada pertimbangan mereka… Tak perlulah jadi polemik,” ujarnya.
Beliau menambah, penumpang Islam tetap dihormati dan tidak akan dihidangkan alkohol.
Loke tegur sindiran Ahli Parlimen Kepong
Ketika perbahasan sebelum ini, Lim Lip Eng (PH–Kepong) menyindir cadangan PAS dengan berkata parti itu boleh sahaja menubuhkan “PAS Airlines”. Bagaimanapun, Loke menegur kenyataan itu secara terbuka.
“Saya juga nak tegur Kepong yang buat cadangan bukan-bukan, dia cakap buatlah PAS Airlines. Saya tak setuju, walaupun dia kawan saya dan daripada parti saya, jangan perlekeh industri penerbangan.
“Kalau nak tegur kita berbahas, tak ada masalah. Saya kata janganlah buat cadangan nak buat PAS Airlines ke, lepas itu pihak sana kata buat DAP Airlines atau Roket Airlines pula.
“Parti politik tak layak jadi syarikat penerbangan. Banyak syaratnya, banyak lesen, banyak yang perlu kita lalui. Jadi jangan bagi pandangan yang boleh jadi polemik,” katanya.
Beliau menegaskan perbandingan seperti itu hanya mengeruhkan suasana dan tidak membantu perbahasan.
Sumber: MalaysiaKini
 
			







