Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Beberapa kapal milik Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan dipintas dan digeledah secara haram oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa pada malam Rabu.
Menurut kenyataan media GSF, insiden berlaku sekitar jam 8.30 malam waktu Gaza melibatkan kapal Alma, Surius dan Adara. Tentera Israel didakwa terlebih dahulu merosakkan sistem komunikasi kapal bagi menghalang isyarat kecemasan dan menamatkan siaran langsung kejadian tersebut.
Selain kapal yang disahkan dipintas, hubungan komunikasi dengan beberapa kapal lain juga terputus. Pihak penganjur kini sedang berusaha mengesahkan keadaan semua peserta serta kru, termasuk status penahanan, kecederaan dan kemungkinan korban.
“Ini adalah serangan haram terhadap misi kemanusiaan tidak bersenjata di perairan antarabangsa. Kami menggesa kerajaan dunia dan institusi antarabangsa menuntut keselamatan serta pembebasan segera semua mereka yang berada di atas kapal,” kata kenyataan itu.
Baca juga:
- Ucapan Steven Sim raih tumpuan, sebut satu persatu nama peserta GSF Malaysia
- Colombia halau Diplomat Israel, tegaskan solidariti bersama Palestin
- Netanyahu puji tentera lautnya hentikan Flotilla bantuan Gaza, biarpun dikecam dunia
Bagaimanapun, GSF memaklumkan flotilla masih berada 70 batu nautika dari pantai Gaza dan akan terus meneruskan misi tanpa gentar walaupun beberapa kapal telah dipintas.
Ketiga-tiga kapal berkenaan turut menempatkan delegasi dari Malaysia iaitu Musa Nuwayri Kamaruzaman, Sul Aidil dan Ilya Balqis Suhaimi di kapal Alma; manakala Mohammad Haikal Abdullah, Mohammad Muaz Zainal Abidin, Zulfadhli Khiruddin dan Muhammad Rusydi Ramli berada di kapal Sirius.
Perkembangan terkini daripada Sumud Nusantara pula memaklumkan bahawa kapal Huga yang dinaiki penyanyi Zizi Kirana dan juga kapal Grande dinaiki oleh Farah Lee dan Danish Nazran turut dipintas.
Sumber: Sumud NUsantara Official, Nadhir Al-Nuri