LHDN pantau influencer suka pamer kekayaan di media sosial setiap hari | The Reporter

LHDN pantau influencer suka pamer kekayaan di media sosial setiap hari

Gambar hiasan (Artificial Intelligence)

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini sedang memantau pempengaruh media sosial dan individu yang suka mempamerkan kekayaan dan kemewahan di media sosial.

Tujuannya adalah untuk memastikan mereka tidak terlepas dari tanggungjawab membayar cukai.

Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai LHDN,Abang Ehsan Abang Abu Bakar berkata, pemantauan dilakukan setiap hari melalui semua platform media sosial dan e-dagang.

Seksyen Audit Ekonomi Digital (SAED), sebuah unit khas yang ditubuhkan oleh LHDN, memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang menikmati kehidupan mewah tetapi tidak membayar cukai.

SAED katanya telah mengesan beberapa individu yang suka mempamerkan kehidupan mewah mereka seperti wang tunai dan lain-lain.

Walaupun perbuatan itu bukan satu kesalahan, tetapi pemantauan tetap perlu dilakukan bagi memastikan mereka memenuhi tanggungjawab membayar cukai.

Menurut Abang Ehsan, LHDN sentiasa menjalankan aktiviti pematuhan berdasarkan konsep Awareness, Education and Services (AES). Aktiviti pematuhan ini dilakukan berdasarkan tahap penilaian risiko yang sesuai, yang diperoleh dari pelbagai sumber termasuk aduan awam.

“Pempengaruh yang terpilih untuk semakan pematuhan perlu memberikan bukti berkaitan aktiviti perniagaan mereka kepada LHDN semasa semakan pematuhan dijalankan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, SAED menjalankan tugas ini di ruang komen media sosial milik pempengaruh dan usahawan digital yang telah dikenal pasti. Tujuannya adalah untuk mempengaruhi perilaku pempengaruh media sosial dalam membuat keputusan untuk mematuhi undang-undang percukaian.

Dengan cara itu, pihaknya dapat meningkatkan kesedaran pembayar cukai, selaras dengan pendekatan AES

Sumber: Sinar Harian

Related Posts