Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemuda berusia 26 tahun, Muhammad Amirul Fathi Mohd. Noor, telah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan menumbuk seorang wanita warga emas, Tan Soo Ee, 77 tahun sehingga cedera, dalam kejadian yang berlaku di belakang sebuah rumah di Batu 9 Panati Kundor, Tanjung Kling pada 28 Januari lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Amirul Fathi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin, menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memohon syarat tambahan dikenakan.
Namun, peguam yang mewakili tertuduh, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor dan Nurul Hafidzah Hassan, merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guam tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu neneknya membersihkan tapak glamping tersebut.
Selain itu, anak guam mereka adalah orang kelainan upaya (OKU) kerana mengalami keretakan di kepala selepas terlibat dalam kemalangan ketika dia berusia tujuh tahun. Tertuduh juga tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana tinggal dengan nenek dan ibunya selepas bapanya meninggal dunia akibat kanser limfoma pada November 2023.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga dilarang berjumpa atau menghubungi mangsa melalui apa juga medium. Tarikh 21 Mac telah ditetapkan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Amirul Fathi ditahan polis selepas tular video rakaman CCTV yang menunjukkan dia memukul seorang wanita warga emas. Tertuduh didakwa bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang menegurnya membakar sampah secara terbuka sehingga menyebabkannya sesak nafas.
Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro