Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki dari Perancis berusia 24 tahun, Mathieu Vigier Latour, bertindak membunuh diri selepas menghadapi masalah serius akibat kegagalan prosedur pemindahan jambang yang dijalaninya di Turki.
Pada Mac lalu, Mathieu pergi ke sebuah klinik di Istanbul untuk menjalani pemindahan jambang yang kosnya lima kali lebih murah berbanding di Perancis.
Menurut bapanya, Jacques Vigier Latour berkata, Mathieu nekad untuk mendapatkan perkhidmatan itu selepas melihat klinik tesebut mempunyai pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Turki.
Namun, prosedur itu bertukar menjadi pengalaman buruk apabila 4,000 helai rambut diambil dari belakang kepala Mathieu, tetapi 1,000 helai hilang semasa proses pemindahan. Apabila jambang mula tumbuh, ia kelihatan tidak sekata seperti ‘landak’ dan sukar diurus.
Jambangnya tumbuh secara tidak sekata dengan rambut yang berada pada sudut tidak normal. Mathieu turut mengalami kesakitan, luka bakar, dan masalah tidur selepas pembedahan tersebut.
Mathieu kemudian menyiasat lebih lanjut tentang klinik itu dan mendapati individu yang melakukan prosedur tersebut sebenarnya seorang ejen hartanah yang menyamar sebagai pakar bedah.
Keluarga Mathieu berjaya mendapatkan khimdat pakar di Belgium untuk membetulkan ‘kerosakan’ itu. Namun, doktor tersebut menjelaskankan bahagian kulit kepala yang terjejas tidak dapat pulih sepenuhnya.
Akibat dari kejadian itu, Mathieu mula mengalami gangguan mental yang serius kerana terlalu tertekan memikirkan kecacatan pada penampilannya. Tiga bulan selepas prosedur tersebut, Mathieu akhirnya membunuh diri di kediamannya di Paris.
Jacques berharap, kisah yang menimpa anaknya memberi peringatan kepada orang ramai mengenai risiko pelancongan perubatan kos rendah.
“Jika pendedahan ini dapat mengelakkan perkara ini daripada berulang dan memberi peringatan kepada semua orang, saya rasa itu adalah penghormatan buat Mathieu,” katanya. – Agensi