Lelaki Israel ditahan polis, turut dirampas 6 senjata, 200 peluru | The Reporter

Lelaki Israel ditahan polis, turut dirampas 6 senjata, 200 peluru

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki warga Israel, 36 tahun, telah ditahan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 27 Mac lalu di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Suspek ditahan bersama enam senjata antaranya SIG Sauer, Smith and Wesson dan Glock, serta 200 peluru.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek memiliki dua pasport dan memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis, dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.

Suspek mendakwa kedatangannya ke Malaysia bertujuan untuk membunuh seorang individu warga Israel berkaitan dengan masalah keluarga.

Namun, polis mengesyaki suspek tidak bergerak secara solo dan pernah menetap di beberapa hotel lain sebelum ditahan.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan mengesyaki suspek mempunyai agenda atau motif lain, termasuk kemungkinan suspek adalah seorang ejen perisikan Israel.

Suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam pada itu, polis juga akan meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh negara, termasuk terhadap golongan kenamaan.

“Melihat kepada isu Palestin – Israel ketika ini, kita perlu berwaspada dengan tahap keselamatan golongan kenamaan membabitkan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim), Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta beberapa individu lain,” kata Tan Sri Razarudin.

Sumber: Harian Metro

Related Posts