Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 36 tahun di Sepanyol menerima pampasan sebanyak £41,000 (RM238,000) selepas mendakwa kecuaian perubatan menyebabkan dirinya mengalami masalah kesihatan yang serius.
Lelaki itu, yang identitinya tidak didedahkan, mula mendapatkan rawatan di sebuah pusat kesihatan di Albaida, berhampiran Valencia, selepas empat jam menghadapi masalah ereksi berpanjangan yang tidak kembali kepada keadaan normal.
Keadaan bertambah buruk
Dia disahkan mengalami priapisme, satu keadaan di mana darah tidak dapat mengalir keluar dari zakar, menyebabkan ereksi berpanjangan yang boleh merosakkan tisu zakar jika tidak dirawat segera.
Setelah diagnosis itu, dia dirujuk ke Hospital Ontinyent. Namun, menurut dakwaannya, terdapat kelewatan dalam rawatan yang diperlukan. Keadaan bertambah buruk apabila dia kembali ke hospital itu bersama isterinya selepas 20 jam, tetapi hanya diberitahu akan mendapat temujanji ‘keutamaan’ dengan pakar urologi.
Setelah membuat aduan, dia akhirnya dirujuk ke hospital lain di mana dia dimasukkan ke wad dengan gejala demam yang berkait dengan priapisme dan tanda-tanda jangkitan lain. Doktor di hospital itu terpaksa mengeluarkan darah dari zakarnya, dan beberapa hari kemudian, dia menjalani pembedahan untuk memasang prostesis zakar.
Namun, prostesis tersebut dilaporkan ‘dipasang dengan salah’ sehingga menyebabkan masalah baru, memerlukan pembedahan kedua untuk membetulkannya.
Suami isteri terima pampasan berasingan
Kerajaan wilayah Valencia diperintahkan untuk membayar pampasan kepada lelaki itu selepas pakar mendapati dia tidak menerima rawatan sewajarnya, menyebabkan kesakitan berpanjangan dan masalah kekal berkaitan ereksi.
Isterinya juga diberi pampasan sekitar £4,200 (RM24,000) sebagai sebahagian daripada tuntutan itu. Pasangan tersebut dikatakan telah melalui ‘perjuangan panjang’ sebelum akhirnya menerima keputusan pampasan lima angka itu.
Menurut Jorge Sanchez, seorang pakar urologi, Priapisme selama empat atau lima jam boleh merosakkan tisu zakar, dan risikonya meningkat selepas 20 jam. Jika ereksi berterusan, satu-satunya cara adalah memecahkan dua tiub dalam zakar yang dikenali sebagai corpora cavernosa, yang akan menyebabkan pesakit tidak lagi dapat mengalami ereksi semula tanpa prostesis.” – Agensi