Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Laut Galilee atau juga dikenali sebagai Tasik Tabariyyah kini menunjukkan penyusutan yang membimbangkan. Di sebalik isu ekologi dan cuaca, ada satu perkara yang menggetarkan hati umat Islam. Tasik ini pernah disebut sendiri oleh Dajjal dalam hadis sahih sebagai salah satu tanda sebelum kemunculannya ke dunia.
Paras air Laut Galilee telah menurun sejak beberapa dekad lalu dan kemerosotannya bukan lagi rahsia. Antara faktor utama ialah pengambilan air secara berlebihan untuk kegunaan pertanian, domestik dan industri oleh penduduk sekitarnya, khususnya di Israel. Tambahan pula, kemarau berpanjangan dan perubahan iklim telah mengurangkan jumlah air yang mengalir masuk dari Sungai Jordan, sumber utama tasik tersebut.
Lebih membimbangkan, Laut Galilee pernah hampir mencecah garis merah iaitu tahap kritikal di mana air tidak lagi sesuai untuk digunakan dan ekosistem akan terjejas teruk. Ini mendorong pihak berkuasa untuk mengambil pelbagai langkah luar biasa demi memastikan tasik ini tidak kering sepenuhnya.
Kisah Tamim ad-Dari bertemu Dajjal
Dalam hadis sahih riwayat Muslim, Fatimah binti Qais menceritakan Rasulullah SAW pernah menyampaikan satu kisah luar biasa yang baru didengarnya daripada Tamim ad-Dari, seorang sahabat yang dahulunya beragama Kristian dan kemudian memeluk Islam.
Rasulullah SAW menceritakan:
“Aku akan ceritakan kepada kalian satu kisah yang bersesuaian dengan apa yang pernah aku ceritakan kepada kamu tentang Dajjal. Tamim ad-Dari datang kepadaku dan dia telah memeluk Islam. Dia menceritakan kepadaku satu kisah yang sesuai dengan apa yang aku pernah beritahu kamu tentang Dajjal.”
Tamim berkata, dia bersama 30 lelaki dari Bani Lakhm dan Judzam belayar di lautan dan hanyut selama sebulan, sehingga terdampar di sebuah pulau. Mereka menaiki perahu kecil lalu turun ke pulau itu. Di sana mereka terjumpa dengan makhluk berbulu lebat, sehingga mereka tidak dapat membezakan yang mana depan dan belakangnya.
Mereka bertanya: “Siapa kamu ini?”
Makhluk itu menjawab: “Aku adalah al-Jassasah.”
Mereka bertanya: “Apa itu al-Jassasah?”
Al-Jassasah menjawab: “Wahai kaum, pergilah kepada lelaki itu di dalam biara. Dia sangat ingin mengetahui tentang kalian.”
Pertemuan dengan Dajjal
Tamim dan rombongannya pun pergi ke dalam biara itu dan menemui seorang lelaki bertubuh besar yang kedua tangannya diikat ke leher dan kedua lutut ke buku lalinya dirantai besi berat. Tidak pernah mereka melihat makhluk seperti itu.
Mereka bertanya: “Siapa kamu ini?”
Lelaki itu menjawab: “Kamu telah mendapat tahu tentangku. Maka beritahulah aku tentang kalian.”
Mereka berkata: “Kami adalah orang Arab, belayar di laut dan dihanyutkan ombak selama sebulan. Kami terdampar di pulau ini. Kami bertemu makhluk sangat berbulu sehingga kami tidak tahu depan atau belakangnya. Kami bertanya siapa dia dan dia jawab: ‘Aku al-Jassasah.’ Dia menyuruh kami datang kepadamu.”
Lelaki itu bertanya: “Beritahulah aku tentang kurma Baisan.”
Mereka menjawab: “Apa yang kamu ingin tahu tentangnya?”
Dia bertanya: “Adakah ia masih berbuah?”
Mereka berkata: “Ya.”
Dia berkata: “Ketahuilah, ia hampir tidak akan berbuah lagi.”
Lelaki itu bertanya: “Beritahu aku tentang Tasik Tabariyyah (Laut Galilee).”
Mereka berkata: “Apa yang ingin kamu tahu tentangnya?”
Dia bertanya: “Adakah masih ada air padanya?”
Mereka menjawab: “Ya, banyak.”
Dia berkata: “Sesungguhnya airnya akan kering.”
Dia bertanya lagi: “Beritahulah aku tentang mata air Zughar.”
Mereka menjawab: “Ia masih mengalir dan digunakan penduduk untuk bertani.”
Lelaki itu bertanya: “Beritahu aku tentang Nabi yang ummi (Nabi Muhammad), apa yang dia lakukan?”
Mereka menjawab: “Dia telah muncul di Makkah dan kini menetap di Yathrib.”
Lelaki itu bertanya: “Adakah orang Arab memeranginya?”
Mereka menjawab: “Ya.”
Dia bertanya: “Apa hasilnya?”
Mereka menjawab: “Dia menang atas mereka dan mereka kini mematuhinya.”
Lelaki itu berkata: “Benar, jika begitu maka lebih baik mereka mematuhinya. Ketahuilah, aku adalah al-Masih Dajjal. Aku hampir diizinkan keluar. Bila aku keluar, aku akan berjalan di bumi dan tidak ada satu pun kampung yang aku tidak akan masuki dalam masa 40 malam, kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-duanya diharamkan kepadaku. Setiap kali aku ingin masuk, aku dihalang oleh malaikat yang membawa pedang terhunus.”
Kenapa Dajjal tak dapat masuk Makkah dan Madinah?
Rasulullah SAW bersabda Makkah dan Madinah akan dijaga oleh para malaikat. Tidak ada satu lorong pun di dua kota suci itu melainkan dijaga oleh malaikat dengan pedang terhunus yang akan menghalang Dajjal dari memasukinya. Apabila Dajjal cuba mendekati kota-kota ini, gempa kecil akan berlaku dan akan mengeluarkan semua orang munafik dan fasik yang berada di dalamnya. Hanya orang beriman sejati yang akan tetap di dalamnya.
Peringatan Rasulullah SAW: bersiaplah hadapi fitnah Dajjal
Selepas mendengar kisah Tamim, Rasulullah SAW tidak hanya menceritakannya kepada para sahabat, malah memberi peringatan penting kepada seluruh umat Islam agar bersedia menghadapi fitnah Dajjal.
Baginda SAW menyarankan agar umat Islam menghindari Dajjal sekiranya mendengar berita tentang kemunculannya, menguatkan iman agar tidak terpedaya dengan keajaiban yang ditunjukkannya, serta menghafal 10 ayat pertama Surah al-Kahfi atau dalam beberapa riwayat, 10 ayat terakhir sebagai pelindung daripada fitnahnya.
Fatimah binti Qais: saksi kepada kisah ini
Fatimah binti Qais yang meriwayatkan hadis ini berkata, beliau sendiri berada di masjid ketika Rasulullah SAW menyampaikan kisah Tamim di atas mimbar. Ia adalah kisah yang disampaikan dengan penuh serius dan peringatan, membuktikan bahawa baginda SAW menganggap fitnah Dajjal sebagai ujian paling besar dalam sejarah manusia.