Larangan telefon bimbit pelajar bawah 16 tahun sedang dikaji – Anwar | The Reporter

Larangan telefon bimbit pelajar bawah 16 tahun sedang dikaji – Anwar

Perdana Menteri Malaysia berinteraksi mesra dengan sekumpulan pelajar lelaki selepas solat Jumaat, menggambarkan nilai kasih sayang dan kepimpinan berteraskan rakyat.
Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sedang mengkaji larangan penggunaan telefon bimbit bagi pelajar bawah 16 tahun demi kesejahteraan generasi muda. | Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri / Facebook Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar bawah umur 16 tahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pengaruh media sosial dan permainan dalam talian semakin membimbangkan kerana boleh membawa kepada tingkah laku luar kawalan dalam kalangan pelajar. Justeru, kerajaan sedang menilai langkah yang sesuai bagi menangani isu tersebut.

“Langkah ini telah dilaksanakan di beberapa negara dan kita sedang kaji model yang sesuai untuk negara ini. Peranan ibu bapa juga amat penting dalam hal ini,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette, semalam.

Baca juga:

Pengaruh media sosial dan keperluan penelitian menyeluruh

Anwar berkata, isu telefon pintar ini dibincangkan bersama hal disiplin dan kebimbangan ibu bapa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Beliau menegaskan sebarang tindakan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru tanpa penelitian mendalam terhadap kesannya terhadap pembelajaran dan sosial pelajar.

Kerajaan juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk PIBG, guru dan masyarakat, dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijangka memberikan penjelasan lanjut dalam masa terdekat.

Fokus kepada nilai dan keselamatan

Anwar turut menegaskan, tumpuan kerajaan bukan hanya kepada larangan semata-mata tetapi juga kepada usaha membentuk semula nilai dan akhlak pelajar, selain memperkukuh keselamatan sekolah dengan kerjasama polis dan Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, isu seperti buli dan pelajar menyerang guru perlu ditangani secara menyeluruh agar pendidikan negara bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi turut membina peribadi berakhlak dan berdisiplin.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts