Kutipan hasil cukai Malaysia terendah di Asia tenggara, tertinggal di belakang Singapura, Thailand - The Reporter

Kutipan hasil cukai Malaysia terendah di Asia tenggara, tertinggal di belakang Singapura, Thailand

Sumber gambar: Klook

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Malaysia merupakan salah satu negara dengan kutipan hasil cukai terendah di Asia Tenggara, sedang berusaha untuk meningkatkan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini berada pada 11.8 peratus.

Menurut Prof Emeritus Barjoyai Bardai, Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Malaysia masih tertinggal di belakang Singapura dan Thailand yang telah menerapkan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) termasuk Nilai Tambah (VAT).

Malaysia masih gunapakai SST

“Kutipan cukai kita masih jauh lebih rendah berbanding negara jiran yang telah menggunapakai GST,” kata Barjoyai.

“Semasa mengenakan GST dahulu, Malaysia mengutip sehingga RM40 bilion, tetapi sekarang dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kita hanya kutip kurang daripada RM30 bilion dan hasil daripada sektor perkhidmatan tidak sampai separuh.”

Barjoyai menambah, secara keseluruhan, kutipan SST hanya menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah kutipan cukai.

Raja Kumaran, Ketua Cukai Tidak Langsung PwC Malaysia, berkongsi pandangan yang sama dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan dapat mengembangkan sumbangan cukainya kepada KDNK jika sistem cukai tidak meliputi rantaian bekalan sepenuhnya.

Dengan peningkatan kadar SST mulai 1 Mac 2024 kepada 8.0 peratus berbanding 6.0 peratus, Kementerian Kewangan telah menganggarkan tambahan RM3 bilion hasil pada tahun depan. Kadar baharu ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta serta logistik, tetapi skop perkhidmatan bercukai telah diperluaskan merangkumi pembrokeran, pengunderaitan dan karaoke.

Cadang kenakan cukai baru

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencadangkan agar Malaysia mengenakan cukai ke atas perkhidmatan kesihatan, pendidikan swasta, penyewaan hartanah komersil dan infrastruktur bagi meluaskan skop cukai, sekali gus meningkatkan pendapatan negara.

“Saya fikir kita bergerak lebih ke arah cukai penggunaan yang boleh dipercayai dan kita berharap apabila ekonomi bergerak naik, sumbangan cukai tidak langsung akan bertambah tetapi untuk mempunyai sistem pengagihan cukai yang baik, kita perlu mempunyai infrastruktur yang berkesan, penguatkuasaan yang wajar dan komunikasi yang jelas termasuk ketelusan kepada pelabur,” kata Anwar.

Secara keseluruhan, kerajaan persekutuan mengunjurkan kutipan hasil pada 2024 menokok 1.5 peratus kepada RM307.6 bilion, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi.

Sumber: Bernama

Total
0
Shares
Total
0
Share