Kuil kecil dibina secara tidak sah oleh pekerja binaan - Mahima - The Reporter

Kuil kecil dibina secara tidak sah oleh pekerja binaan – Mahima

Presiden Mahima, N Sivakumar, semasa ditemu bual berhubung isu kuil kecil dibina tanpa kebenaran.
N Sivakumar tampil beri penjelasan isu kuil kecil yang dibina secara tidak sah di lokasi awam.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Isu kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Masjid India mungkin sudah hampir selesai, namun kebimbangan baharu mula timbul apabila netizen mula berkongsi gambar kuil-kuil kecil yang didirikan di lokasi awam seperti di bawah pokok dan tepi jalan.

Tindakan itu menimbulkan persoalan, siapa yang mendirikan struktur tersebut dan apakah ia dilakukan dengan kebenaran pihak berkuasa?

Gambar kuil kecil yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu

Presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia (Mahima), N Sivakumar tampil menjelaskan bahawa kebanyakan kuil kecil yang muncul di tempat tidak sepatutnya sebenarnya dibina oleh pekerja binaan dan bukannya oleh komuniti Hindu secara rasmi.

“Mereka biasanya letak patung atau bina tempat sembahyang kecil untuk perlindungan sementara ketika buat kerja. Tapi bila kerja siap, mereka tinggalkan saja. Lama-lama orang anggap ia kuil tetap,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Menurutnya, amalan itu tidak hanya membabitkan pekerja Hindu, tetapi juga pekerja berketurunan Cina yang mungkin mempunyai kepercayaan tertentu berkaitan perlindungan ketika bekerja.

Fenomena kuil kecil ini menimbulkan kegusaran kerana ia memberi gambaran seolah-olah masyarakat Hindu mendirikan rumah ibadat secara sembarangan, sedangkan banyak daripada struktur itu tidak mendapat restu mana-mana jawatankuasa kuil.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata kebanyakan kuil lama dahulu dibina oleh pekerja ladang semasa era penjajahan British ketika kawasan masih belum dibangunkan. Bila pembangunan pesat berlaku, barulah kuil-kuil itu kelihatan dan timbul isu pemilikan tanah.

“Sebab itu kita perlu ada pendekatan sistematik untuk urus hal ini. Saya cadangkan kerajaan tubuh pasukan khas untuk tangani isu rumah ibadat yang dibina tanpa perancangan,” katanya.

Sebagai langkah proaktif, Mahima kini sedang merangka pelan induk pembinaan rumah ibadat Hindu yang akan merangkumi aspek pendaftaran, lokasi sesuai, permohonan dana dan garis panduan pembinaan.

Pelan itu dijangka siap dalam beberapa bulan selepas sesi lawatan dan perbincangan bersama kuil-kuil di seluruh negara diselesaikan.

Total
0
Shares
Total
0
Share