Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seekor kucing jalanan dari China ditemui hidup dalam sebuah kontena penghantaran yang telah merentas ribuan kilometer ke Amerika Syarikat selama tiga minggu. Kucing itu yang kini diberi nama Stowaway, dijumpai sedang bersembunyi di bawah palet ketika kontena dibuka di Oakdale, Minnesota.
Menurut Companion Animal Care & Control, ini merupakan pengalaman pertama mereka menyelamatkan haiwan dari luar negara sejak hampir 15 tahun beroperasi.
“Kami dah lama dalam bidang ni, tapi ini memang kes pertama yang luar biasa. Bayangkan, ini kucing jalanan pertama kami dari China. Ya, betul-betul dari China,” kata mereka dalam satu hantaran di Facebook.
3 minggu dalam kontena tanpa makanan dan air
Kucing itu dipercayai telah berada dalam kontena sepanjang perjalanan dari China ke Amerika. Ketika ditemui, keadaannya sangat kurus dan lemah akibat kekurangan air dan makanan.
“Dia ditemui masa pekerja sedang buka kontena, menyorok di bawah palet. Masa tu dia memang nampak sangat lemah dan mengalami dehidrasi. Kami dipanggil ke lokasi dan berjaya tangkap dia dengan perangkap yang selamat,” jelas Companion.
Gambar yang dikongsi menunjukkan kucing tersebut berada dalam sangkar dengan wajah cemas, namun selamat. Pasukan penyelamat percaya dia mungkin hanya bergantung kepada wap air dan mungkin beberapa tikus yang turut berada dalam kontena.
“Kucing ni memang bertuah. Kalau ikut logik, sangat sukar nak hidup dalam keadaan macam tu. Tapi dia berjaya.”
Kini dalam jagaan pusat perlindungan haiwan
Selepas diselamatkan, Stowaway dibawa ke Northwoods Humane Society sebelum dipindahkan ke Pet Haven, Inc. of Minnesota.
Di situ, dia akan diberi penjagaan menerusi program khas dipanggil Wallflower Program yang memberi ruang dan masa untuk haiwan yang trauma kembali tenang sebelum diangkat oleh keluarga baru.