Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf selepas kira-kira 25 penumpang terlepas dua perkhidmatan KTM Komuter berikutan pintu masuk Stesen Anak Bukit, Kedah, lewat dibuka pagi Jumaat.
Kejadian itu mendapat perhatian susulan rakaman video tular yang memaparkan beberapa individu memanjat pagar stesen. Rakaman berkenaan turut mendakwa pintu masuk masih belum dibuka pada jam 6.30 pagi.
Dalam kenyataan, KTMB memaklumkan stesen itu sepatutnya mula beroperasi pada jam 5.30 pagi. Bagaimanapun, kakitangan yang dijadualkan membuka stesen tidak dapat melapor diri pada waktu ditetapkan atas faktor kesihatan.
“Setelah dimaklumkan pada kira-kira jam 5.55 pagi bahawa pintu masuk stesen masih belum dibuka, pegawai bertugas telah cuba menghubungi kakitangan berkenaan namun tidak berjaya.
“Tindakan segera kemudiannya diambil dengan mengarahkan seorang Kerani Kaunter dari stesen berhampiran yang dijadualkan bertugas pada jam 7.00 pagi untuk hadir lebih awal ke Stesen Anak Bukit,” katanya.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
KTMB memaklumkan kira-kira 25 penumpang tidak dapat menaiki Tren 2901 dan Tren 2903 yang masing-masing dijadualkan berlepas pada jam 5.58 pagi dan 6.18 pagi.
Katanya, pihak mereka memandang serius kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut. Tindakan sewajarnya akan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan.








