Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad menafikan dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi layanan istimewa di Penjara Kajang.
Beliau berkata, semua banduan diberi layanan sama dan diuruskan mengikut peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai penjara yang dikesan memberi layanan istimewa kepada banduan.
Terdahulu, bekas banduan dan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin, mendakwa Najib diberi layanan istimewa di penjara.
Antaranya bekas perdana menteri itu tidak memakai baju seperti banduan lain. Sebaliknya dibenarkan memakai pakaian seperti di rumah dan ditempatkan di blok istimewa.
Najib dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Sumber: Sinar Harian








