KJ saman Rasyiq Alwi, tuntut RM2 Juta atas fitnah isu vaksin | The Reporter

KJ saman Rasyiq Alwi, tuntut RM2 Juta atas fitnah isu vaksin

Khairy Jamaluddin
Sumber Gambar: Utusan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, telah memfailkan saman fitnah terhadap pendakwah, Rasyiq Alwi, dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM2 juta berhubung dakwaan mengenai status vaksinasinya.

Ketika prosiding di Mahkamah Tinggi kelmarin, peguam Khairy, Abdul Rashid Ismail, memaklumkan bahawa Rasyiq telah membuat kenyataan berunsur fitnah di media sosial dengan niat memperlekehkan anak guamnya. Kenyataan tersebut dipercayai menjejaskan reputasi Khairy, yang memainkan peranan utama dalam penyelarasan program vaksinasi Covid-19 negara.

Menurut Abdul Rashid, Rasyiq secara langsung merujuk kepada Khairy dalam hantaran yang dimuat naik dan turut menandakan (tag) akaun media sosial bekas menteri itu.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa Rasyiq tidak menunjukkan sebarang keinsafan. Malah, selepas menerima dokumen undang-undang daripada pasukan Khairy, beliau mengeluarkan ‘permohonan maaf’ yang bersifat sinis.

Khairy mengambil tindakan undang-undang pada tahun 2022 dengan mendakwa bahawa Rasyiq telah menyebarkan dakwaan palsu yang kononnya beliau mengelirukan orang ramai mengenai status vaksinasinya. Tuduhan tersebut, menurut Khairy, boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Walaupun sudah dimaklumkan mengenai tarikh perbicaraan, Rasyiq tetap gagal hadir ke mahkamah. Abdul Rashid turut memberitahu bahawa walaupun pendakwah itu tidak diwakili peguam, pihaknya telah memaklumkan perkembangan kes kepadanya. Malah, sebelum ini, Rasyiq pernah menghadiri sesi pengurusan kes sebelum perbicaraan.

“Beliau berulang kali meminta penangguhan dengan alasan perlu melantik peguam baharu atau mendakwa berada di luar negara. Ketiadaan beliau secara berterusan menunjukkan sikap tidak menghormati arahan mahkamah,” kata Abdul Rashid.

Susulan itu, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan 15 April sebagai tarikh keputusan kes.

Sumber: Harian Metro

Related Posts