Kenyataan seorang Ahli Parlimen Sarawak di Dewan Rakyat yang mengaitkan pemakanan babi dengan isu rasuah dan dadah mencetuskan perbahasan hangat, apabila beliau menegaskan komuniti pemakan babi tidak wajar terus dilabel secara negatif.
Ahli Parlimen GPS-Puncak Borneo, Willie Mongin, berkata dakwaan sedemikian bukan sahaja tidak adil, malah menghina maruah komuniti Dayak yang selama ini hidup secara sederhana dan berpegang kepada nilai moral.
Berucap di Dewan Rakyat semalam, Willie menegaskan pemakanan tidak boleh dijadikan ukuran kepada akhlak atau tahap ketamadunan seseorang.
“Kita sebagai orang yang makan babi tidak banyak yang ambil rasuah, tidak banyak yang makan dadah, tidak banyak yang sampai buat perkara pelik-pelik, tetapi kita dituduh makan babi dan tidak jadi orang bertamadun,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja.
Baca juga:
- Caprice diarah bayar ganti rugi RM220,000 kepada Ebit Lew serta-merta
- Usia 81 tahun bukan penghalang, warga emas berjaya genggam PhD
- Tular video kekecohan di Desa Tun Razak, sembilan individu ditahan polis
Menurut beliau, komuniti Dayak tidak pernah menghina pilihan makanan kaum lain, namun sering menjadi sasaran cemuhan hanya kerana menjadikan daging babi sebagai sebahagian budaya pemakanan mereka.
Beliau menggesa semua pihak menghentikan naratif yang mengaitkan pemakanan dengan salah laku moral, sebaliknya memberi tumpuan kepada nilai saling menghormati dalam masyarakat majmuk. Perbandingan atau sindiran terhadap makanan hanya akan memburukkan lagi jurang persefahaman antara kaum.
Willie turut mengingatkan bahawa keharmonian negara hanya boleh dicapai jika setiap rakyat menghormati kepercayaan dan amalan hidup orang lain, selaras dengan semangat yang ditekankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Sumber: MalaysiaKini








