Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Hubungan manusia dan haiwan peliharaan sepatutnya berlandaskan komitmen dan kasih sayang, namun malangnya tidak semua bernasib baik. Seekor kucing jantan berusia setahun bernama Timmy menjadi mangsa keadaan apabila ia diserahkan kepada pusat perlindungan kerana pemiliknya “tidak mempunyai masa” untuk menjaga haiwan tersebut.
Lapor Pet Helpful, Timmy sekarang berada di pusat perlindungan Furkids di Midtown, Atlanta, dan sejak diserahkan oleh pemiliknya, dia sabar menunggu ada yang datang mengambilnya. Pengarah pusat berkenaan, Deanna, berikrar untuk mencari rumah terbaik buat si comel ini dan telah memulakan usaha dengan memuat naik video menyayat hati di TikTok pada 28 April lalu demi menarik perhatian pencinta haiwan.
Menanti kasih sayang selepas ditinggalkan
Dengan mata besarnya yang penuh harapan, Timmy memang buat ramai sayu dan jatuh hati. Bulu krim lembut dan telatah kepalanya yang condong ke sisi membuatkan ramai netizen tidak dapat menahan rasa simpati.
“Kamu memang patut dapat kasih sayang sepenuhnya, Timmy. Harap cepat jumpa rumah baru dan ada orang yang manjakan kamu setiap hari,” kata seorang pengguna bernama Brenna.
Walaupun kelihatan ceria, pengalaman ditinggalkan pasti meninggalkan kesan pada emosi Timmy. Bagi haiwan seperti Timmy, berada di pusat perlindungan boleh menjadi pengalaman yang membingungkan dan menakutkan. Namun dengan kesabaran dan belaian kasih, peluang untuk pulih sentiasa ada.
Seorang netizen turut berkongsi bahawa rakannya yang pernah mengambil haiwan angkat dari pusat itu kini bercadang untuk datang bertemu Timmy. Namun, hanya masa yang akan menentukan sama ada pertemuan itu akan membawa sinar baharu dalam hidup Timmy.
Sedia sebelum ambil haiwan angkat
Pusat Furkids turut mengingatkan bahawa mengambil kucing angkat bukan sekadar soal kasih sayang, tetapi juga soal masa, ruang dan kesediaan. Pembeli perlu bersedia dari segi barangan, ruang bermain seperti menara kucing dan tempat mencakar, serta mempelajari asas penjagaan kucing sebelum membuat keputusan.
Dengan sedikit usaha dan banyak kasih sayang, memberi peluang kedua kepada haiwan seperti Timmy boleh menjadi pengalaman yang paling bermakna dalam hidup seseorang.