13 tahun hilang, kucing kembali ke pangkuan keluarga sebelum hembus nafas terakhir | The Reporter

13 tahun hilang, kucing kembali ke pangkuan keluarga sebelum hembus nafas terakhir

Seekor kucing kelabu sedang berehat dengan mata terpejam sambil dibelai oleh tangan manusia.
Gambar hiasan
Minx hilang tanpa jejak sejak 2012, muncul semula dalam keadaan uzur, sempat disayangi hingga akhir hayat

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seekor kucing bernama Minx yang hilang selama 13 tahun akhirnya kembali ke pangkuan pemiliknya, Jade Yhnell, hanya untuk menghabiskan detik-detik terakhir hidupnya bersama keluarga tersayang.

Minx yang dibesarkan sendiri oleh Yhnell sejak kecil, hilang sewaktu mereka sekeluarga sedang bersiap berpindah dari Bristol ke Tredegar, Wales pada tahun 2012. Pelbagai usaha mencari dilakukan namun menemui jalan buntu.

“Kami mencarinya, tapi dia hilang,” kata Yhnell kepada Western Telegraph.

Namun pada awal bulan ini, keajaiban berlaku apabila seekor kucing kurus dan dipenuhi kutu ditemui di sebuah klinik veterinar di Pembrokeshire, lebih 200 kilometer dari tempat asalnya. Selepas diimbas, mikrocip mengesahkan kucing itu adalah Minx.

Baca juga:

‘Dia cam kami serta-merta’

Yhnell yang bekerja sebagai jururawat veterinar, pada awalnya tidak mengendahkan panggilan dari nombor tidak dikenali, menyangka ia panggilan jualan. Namun selepas menjawab, dia tergamam.

“Saya tak mampu berkata apa-apa. Saya menggeletar dan terus beritahu suami saya, ‘Mereka jumpa Minx!,” ujarnya.

Yhnell dan suaminya segera datang ke klinik tersebut dan mendapati Minx mengenali mereka.

“Dia terus menggeselkan kepala dan mengiau kegembiraan. Saya menangis. Sama juga bila dia jumpa suami saya, dia terus tunjukkan kasih sayangnya,” katanya lagi.

Detik memilukan apabila Minx disatukan kembali dengan keluarganya | Kredit gambar: People

Minx yang turut menambat hati anak-anak pasangan itu, terutama anak perempuan mereka, disahkan menghidap kanser agresif dan meninggal dunia tidak lama selepas kembali ke rumah.

“Dia mengiau dan berdengkur sampai ke nafas terakhir. Saya bersyukur kami dapat bersamanya semula. Dia tahu dia disayangi. Dia sempat jumpa anak-anak kami yang sangat menyayanginya,” ujar Yhnell penuh emosi.

Pentingnya mikrocip

Pihak Fishguard Veterinary Services yang merawat Minx turut berkongsi kisah menyentuh hati ini di Facebook dan mengingatkan betapa pentingnya mikrocip pada haiwan peliharaan.

“Kalau bukan kerana cip ini, mereka mungkin tak akan bertemu semula,” tulis mereka.

Tiada siapa tahu bagaimana Minx boleh berada begitu jauh dari rumah, namun yang pasti, kepulangannya yang tidak disangka-sangka membolehkan keluarga ini mengucapkan selamat tinggal dengan penuh kasih sayang.

“Dia kembali untuk kami jaga di akhir hayatnya. Saya rasa itu sebab dia kembali,” kata Yhnell.

Sumber: People

Related Posts