Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi peringatan bahawa Malaysia berdepan risiko tindak balas ekonomi sekiranya kerajaan tunduk kepada desakan membatalkan jemputan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN.
Menurut Khairy, kedudukan Malaysia sebagai negara kecil yang bergantung pada hubungan perdagangan menjadikan sebarang keputusan diplomatik berisiko mengundang kesan besar. Beliau memberi contoh bagaimana Trump, sepanjang pentadbiran lalu, terkenal dengan sikap keras terhadap rakan dagang yang dianggap menentangnya.
“Malaysia ini kecil sahaja… kalau kita tarik balik jemputan, dia boleh kata ‘baik, saya naikkan tarif 90 peratus’,” katanya, merujuk kemungkinan reaksi keras Trump terhadap negara yang menentangnya.
Baca juga:
- Ucapan Steven Sim raih tumpuan, sebut satu persatu nama peserta GSF Malaysia
- ‘Try hard tunjuk peserta GSF macam pengganas’ – Nadir Al Nuri
- Global Sumud Flotilla bukti semangat kemanusiaan tanpa batas – YDPA
Trump jadi tumpuan ASEAN
Trump dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan di Kuala Lumpur, sekali gus menjadikannya tokoh paling kontroversi dalam senarai jemputan. Kehadirannya mencetuskan perdebatan hangat kerana rekod dasar luar yang sering dikaitkan dengan sokongan kepada Israel dan tindakan keras terhadap Palestin.
Bagi sebahagian aktivis tempatan, kunjungan Trump dilihat mencalarkan imej Malaysia di pentas antarabangsa, manakala ada juga yang bimbang ia akan mencetuskan reaksi negatif dari masyarakat sivil. Tekanan politik semakin memuncak apabila beberapa pihak mengancam untuk mengadakan demonstrasi jika Trump tetap hadir.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan jemputan tersebut dengan alasan Trump merupakan pendokong kepada “jenayah kemanusiaan” terhadap rakyat Palestin.