Polis mengesahkan keterangan penyanyi dikir barat moden, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, suami serta rakannya berhubung kes dadah adalah konsisten.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua mereka mendakwa dianiaya oleh dua rakan, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita yang sebelum ini turut berada dalam pemantauan polis berkaitan dadah.
“Kita juga akan mengesan dua individu berkenaan yang disebut oleh Eda Ezrin dan yang lain untuk siasatan kerana kedua-duanya memang dalam pemantauan kami.
“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan, kesemua mereka termasuk Eda Ezrin, suami dan rakannya adalah selari dan mereka tidak mengaku dadah itu milik mereka sebaliknya dianiaya rakan,” katanya.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Menurut beliau, pihak polis masih berhak memanggil semula Eda Ezrin dan lima individu lain sekiranya perlu.
Terdahulu, Eda Ezrin dan lima yang lain dibebaskan dari Penjara Wilayah Narathiwat pada 6 Ogos lalu selepas lebih sembilan bulan ditahan. Mereka kemudiannya dihantar pulang ke Kelantan pada Khamis dan Jumaat lalu, sebelum memberi keterangan selama tiga hingga lima jam di Balai Polis Rantau Panjang dan IPK Kelantan.








