Kes seterika Pegawai Kadet UPNM: Bukan buli, hanya gurauan keterlaluan | The Reporter

Kes seterika Pegawai Kadet UPNM: Bukan buli, hanya gurauan keterlaluan

Kes kedua tekap seterika di badan pegawai kadet UPNM

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kejadian seorang pegawai kadet tahun dua Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang ditekap dengan seterika oleh pelajar seniornya pada 22 Oktober lalu disahkan berpunca daripada gurauan keterlaluan, bukannya tindakan buli.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku secara spontan antara pelajar junior dan senior tanpa sebarang motif dendam atau pergaduhan.

“Berdasarkan siasatan, ketika kejadian, kedua-dua pegawai kadet terbabit sedang berbual sebelum salah seorang daripada mereka berkata, ‘pernah cuba tak,’ yang akhirnya membawa kepada tindakan menekap seterika panas pada badan,” jelasnya.

Kejadian berbahaya itu berlaku sekitar jam 11.45 malam di bilik asrama UPNM, ketika mangsa sedang menggosok baju sebelum didatangi pelaku, seorang pegawai kadet tahun empat. Tindakan tersebut dianggap sebagai gurauan yang tidak wajar kerana melibatkan objek panas.

Tambah Rusdi, pihak polis tidak melakukan sebarang tangkapan kerana kedua-dua individu yang terlibat memberikan keterangan lengkap dan tidak ada keperluan untuk tindakan lanjut terhadap pelaku.

“Kami sudah merakam percakapan daripada 16 individu, termasuk kedua-dua pegawai kadet yang terlibat, rakan sebilik, jurulatih, dan individu yang merakam video kejadian,” katanya.

Setakat ini, siasatan hampir selesai dan polis masih menunggu laporan perubatan ke atas mangsa. Kertas siasatan juga telah dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

Sumber: Berita Harian

Related Posts