Kes rasuah air Sabah: Bekas pengarah JANS dakwa cuma RM3 juta miliknya | The Reporter

Kes rasuah air Sabah: Bekas pengarah JANS dakwa cuma RM3 juta miliknya

Tukul hakim di atas meja dalam bilik mahkamah
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Ag Tahir dakwa hanya RM3 juta miliknya, selebihnya milik ‘orang lain’
• Tak tahu isteri ada 19 akaun bank dengan simpanan RM2.2 juta
• Tiga individu hadapi 37 pertuduhan melibatkan lebih RM61 juta

Pada tahun 2016, negara dikejutkan dengan rampasan wang tunai puluhan juta ringgit yang disorok dalam pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). Serbuan besar-besaran oleh SPRM itu turut menemui beratus barangan kemas dan mencetuskan antara kes rasuah paling kontroversi dalam sejarah pentadbiran negeri.

Lapan tahun kemudian, perbicaraan terhadap bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, diteruskan dan dalam keterangannya di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, beliau mendakwa hanya sebahagian kecil wang berjumlah RM3 juta itu adalah miliknya.

Menurutnya, wang tunai di pantri pejabatnya sebenarnya sudah ada sejak beliau mula bertugas dan sebahagian besarnya bukan milik sendiri.

“Saya anggarkan kira-kira RM20 juta sudah pun ada di situ dan lebih kurang RM3 juta adalah milik saya,” katanya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tak tahu isteri ada 19 akaun bank

Ag Tahir berkata beliau ada menyimpan sedikit wang untuk tujuan sumbangan politik kerana abangnya ketika itu merupakan bendahari UMNO. Namun, beliau menafikan mengetahui isterinya, Fauziah Piut, memiliki 19 akaun bank dengan simpanan mencecah RM2.2 juta.

Beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan SPRM menemui 900 barangan kemas dan tidak mengetahui nilainya mencecah RM4.1 juta seperti yang dinyatakan saksi pakar pada tahun 2023.

Mengenai papan tanda “Go Away” yang tergantung di pintu pejabatnya, Ag Tahir menjelaskan ia bukan miliknya dan telah berada di situ sejak awal.

Siapa lagi yang terlibat dalam kes ini?

Selain Ag Tahir, turut didakwa ialah isterinya, Fauziah Piut, 60 dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 66. Ketiga-tiga mereka kini berdepan 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM61.57 juta, termasuk pemilikan tidak sah pelbagai barangan mewah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim, manakala Ag Tahir dan isterinya diwakili Datuk Ansari Abdullah serta Erveana Ansari. Lim pula dibela oleh pasukan diketuai Datuk Tan Hock Chuan.

Perbicaraan akan bersambung pada 23 Julai.

Sumber: Harian Metro

Related Posts