Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tragedi kemalangan bas yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini mendapat perhatian serius Kerajaan Negeri Terengganu yang menyifatkan ia sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah kepada seluruh rakyat, khususnya di Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Inisiatif yang diberikan ini ujarnya sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap keluarga yang ditimpa musibah.
“Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada 15 keluarga mangsa yang telah meninggal dunia. Daripada jumlah itu, RM1,000 telah pun diserahkan kepada setiap keluarga dalam tempoh terdekat selepas kejadian,” katanya.
Tambah beliau, bagi 33 mangsa yang mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan, Kerajaan Negeri juga akan menyalurkan bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 seorang.
“Pihak Kerajaan Negeri sangat terkesan dengan tragedi ini dan komited untuk membantu sebaik mungkin dalam meringankan beban keluarga mangsa. Kami juga memohon seluruh rakyat Terengganu agar terus mendoakan kesejahteraan semua yang terlibat dan semoga keluarga mereka diberi ketabahan serta kekuatan menghadapi ujian ini,” ujar beliau.








