Kerajaan sukar mansuhkan hutang PTPTN kerana komitmen kewangan yang tinggi | The Reporter

Kerajaan sukar mansuhkan hutang PTPTN kerana komitmen kewangan yang tinggi

Kerajaan sukar mansuhkan hutang PTPTN
Gambar hiasan | Sumber: Utusan Malaysia

Kerajaan kini menghadapi cabaran untuk memansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disebabkan komitmen kewangan yang begitu tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata selain komitmen kerajaan, aspek peminjam yang telah melunaskan pinjaman juga perlu diambil kira.

Isu PTPTN ini telah lama menjadi perhatian dan disebut dalam manifesto parti politik, baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Namun begitu, usaha untuk memansuhkan hutang sepenuhnya sukar dilakukan dalam keadaan kewangan semasa yang besar tanggungannya.

“Kita juga perlu mempertimbangkan mereka yang telah membuat bayaran. Jika kita ingin menghapuskan hutang bagi mereka yang belum membayar, kita perlu memikirkan nasib peminjam yang telah melunaskan hutang mereka.

“Setakat ini, sekitar RM76 bilion telah dibayar, dan dana ini penting untuk digunakan bagi membiayai pendidikan pelajar seterusnya,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.

Mustapha turut memaklumkan, kementeriannya bersama PTPTN sedang bekerjasama dengan Unit Pantau MADANI di bawah Kementerian Kewangan untuk mengkaji model pembiayaan baharu PTPTN yang lebih mampan dan efisien bagi jangka panjang.

Dalam sesi tersebut, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) turut bertanya mengenai langkah untuk menggalakkan pembayaran balik hutang PTPTN yang melibatkan tunggakan sebanyak RM6 bilion daripada 430,000 peminjam.

Menjawab soalan itu, Mustapha menjelaskan bahawa sejak Jun 2018, tindakan penguatkuasaan seperti sekatan perjalanan kepada peminjam yang ingkar telah dihentikan, namun PTPTN terus mengingatkan mereka tentang tanggungjawab untuk membuat bayaran balik.

Related Posts