Kerajaan batal laksana cukai barangan mewah, fokus perluasan SST | The Reporter

Kerajaan batal laksana cukai barangan mewah, fokus perluasan SST

Perdana Menteri Malaysia sedang berucap di podium dengan latar belakang bendera negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jawapan bertulis di Parlimen berhubung keputusan kerajaan membatalkan cukai barangan mewah. | Kredit gambar: Reuters

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Anwar: SST diperluas kepada barangan mewah, kutipan dijangka RM10 bilion menjelang 2026

Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) tidak diteruskan

Kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi atau HVGT seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 sebelum ini.

Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam. Menurutnya, keputusan dibuat selepas kerajaan mengambil kira keberkesanan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST yang telah diperluas.

“Kerajaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai bernilai tinggi atau High Value Goods (HVGT) Tax, tetapi prinsip bagi pengenaan HVGT tersebut telah diterapkan dalam kajian semula cukai jualan,” katanya.

Ini bermaksud, walaupun HVGT dibatalkan, barangan mewah dan barangan pilihan masih dikenakan cukai melalui SST yang kini ditetapkan pada kadar lima atau sepuluh peratus bergantung pada jenis produk.

Baca juga:

Cara lain kerajaan kutip hasil: SST, cukai digital dan CGT

Walaupun tanpa HVGT, kerajaan tetap mempunyai beberapa sumber kutipan cukai lain hasil daripada pelaksanaan reformasi fiskal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antaranya termasuk:

  • Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas
    Menjana pendapatan lima bilion ringgit pada tahun 2024
    Sasaran meningkat kepada sepuluh bilion ringgit pada tahun 2026
  • Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVG)
    Sudah menjana kutipan sebanyak 500 juta ringgit tahun ini
    Cukai ini dikenakan ke atas barangan murah yang dibeli dari luar negara secara dalam talian
  • Cukai Perkhidmatan Digital (DGT)
    Bermula sejak tahun 2020
    Menjana 1.6 bilion ringgit pada tahun ini
    Cukai ini dikenakan kepada perkhidmatan digital asing seperti Netflix, Spotify dan sebagainya
  • Cukai Keuntungan Modal (CGT)
    Baru diperkenalkan pada Mac 2024
    Disasarkan menjana kutipan sebanyak 800 juta ringgit setahun
    CGT dikenakan atas keuntungan daripada penjualan aset seperti saham yang tidak tersenarai
HVGT diumum tetapi tidak jadi dilaksanakan

Cukai HVGT pada asalnya diumumkan oleh Anwar dalam Belanjawan 2024, dengan sasaran tarikh pelaksanaan pada 1 Mei 2024. Cukai itu bertujuan mengenakan cukai tambahan ke atas barangan mewah seperti jam tangan, barang kemas dan beg tangan mahal.

Namun, pada Mac lalu, kerajaan masih belum muktamadkan butiran pelaksanaan kerana sedang berbincang dengan pihak berkepentingan seperti peniaga dan pengilang.

Anwar menjelaskan kelewatan itu kerana kerajaan mahu memperhalusi dasar dan undang-undang agar pelaksanaannya nanti lebih teratur dan selaras dengan amalan antarabangsa.

Kerajaan dikritik lambat kenakan cukai terhadap orang kaya

Kelewatan pelaksanaan HVGT ini turut dikritik oleh wakil parti MUDA yang mempersoalkan mengapa kerajaan pantas melaksanakan cukai ke atas rakyat biasa tetapi lambat apabila melibatkan golongan berpendapatan tinggi.

Walaupun kerajaan kini membatalkan HVGT, prinsip asasnya masih diteruskan menerusi SST yang dikenakan ke atas barangan mewah, cuma tanpa mewujudkan cukai baharu secara khusus.


Sumber: MalaysiaKini

Related Posts