Tular satu video merakamkan seorang warga China yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sebuah hotel di Malaysia selepas mendakwa tiada bendera China dipasang di kawasan koridor ruang sarapan hotel berkenaan.
Dalam video tersebut, individu berkenaan yang sedang berada di Malaysia untuk urusan kerja pada hari ketiga, berkata dia menyedari hotel itu mempamerkan pelbagai bendera negara lain, namun bendera China tidak kelihatan.
Situasi itu mendorongnya memanggil seorang kakitangan hotel untuk mendapatkan penjelasan mengapa bendera China tidak dipasang.
Baca juga:
- ‘256 warga asing Network School Forest City guna Pas Lawatan Sosial’ – KP Imigresen
- ‘Suami saya bukan penjenayah!’- Wanita Orang Asli dakwa suami ditahan
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
Dia turut menyuarakan pandangan bahawa jika sesebuah pihak ingin mendapatkan keuntungan daripada pelancong atau pelanggan dari China, maka bendera negara tersebut wajar dikibarkan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan.
Rakaman itu kemudian mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Bagaimanapun, pemasangan bendera pelbagai negara itu dipercayai merupakan sebahagian daripada hiasan bermusim hotel sempena acara dunia seperti Piala Dunia, yang lazimnya menyaksikan premis penginapan menghias ruang dengan elemen negara-negara tertentu.








