Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Walaupun kita semua pernah melalui fasa sebagai bayi, peliknya kita langsung tak ingat siapa yang menjaga kita, apa yang berlaku, atau bunyi-bunyi yang kita dengar. Menurut satu kajian terbaru dari Universiti Yale, ini berlaku kerana otak kita pada waktu itu masih belum cukup matang untuk menyimpan memori jangka panjang dengan cara yang membolehkan kita mengingatinya semula apabila dewasa.
Apa yang berlaku dalam otak bayi?
Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science, seramai 26 bayi berumur antara 4 hingga 24 bulan diuji menggunakan mesin imbasan fMRI. Penyelidik ingin melihat bagaimana otak mereka bertindak balas terhadap beberapa gambar, dengan tumpuan khusus kepada hippocampus — bahagian otak yang mengawal ingatan dan emosi.
Setiap bayi ditunjukkan beberapa imej selama dua saat. Selepas itu, mereka dipaparkan semula gambar lama bersama satu gambar baharu. Jika bayi menatap lebih lama pada gambar yang mereka pernah lihat, ini menunjukkan mereka mengingatinya. Kaedah ini biasa digunakan dalam kajian memori kerana bayi secara semula jadi akan memberi lebih perhatian kepada sesuatu yang mereka kenali.

Hasil imbasan menunjukkan bayi berumur lebih 12 bulan mempunyai aktiviti yang lebih ketara di hippocampus. Malah, mereka juga menunjukkan tindak balas di orbitofrontal cortex — bahagian otak yang berkait dengan pengambilan keputusan berdasarkan ingatan. Bagi bayi yang lebih muda, aktiviti ini belum begitu ketara.
- ‘Reply titik pun jadilah’ – Abang JNT
- Lelaki maut ditembak di stesen minyak Bukit Tinggi
- Mikhael luah rasa syukur ibu lafaz syahadah
- Model Rusia buat laporan polis, dirakam TikToker buat live berunsur lucah
- 45 pelajar cemerlang ditolak universiti Korea Selatan kerana rekod buli
Kenapa kita tak boleh ingat semula memori itu?
Menurut Prof. Nick Turk-Browne, ketua kajian dari Universiti Yale, otak bayi memang menyimpan maklumat sejak usia awal, tetapi apabila mereka dewasa, otak tidak mampu mencari semula maklumat itu kerana ia disimpan dengan cara yang berbeza berbanding sistem pencarian otak orang dewasa. Tambahan pula, otak bayi masih sedang melalui fasa perkembangan pantas ketika itu.

Pakar psikologi dari Universiti California, Prof. Simona Ghetti, menjelaskan bahawa walaupun bayi tidak mampu mengenang kembali pengalaman secara sedar, mereka sebenarnya sedang belajar banyak perkara — seperti memahami perkataan, mengenal suara ahli keluarga, dan membina hubungan awal dengan dunia sekeliling.
Inilah sebabnya bayi boleh memberi reaksi apabila mendengar lagu yang sering diulang atau apabila melihat buku yang dibacakan berulang kali. Ia menunjukkan memori sedang terbentuk walaupun mereka belum mampu menyimpannya dalam bentuk yang boleh diingati semula suatu hari nanti.
Jadi walaupun kita tak mampu mengimbas semula memori waktu bayi, pengalaman-pengalaman awal itu tetap memainkan peranan besar dalam perkembangan otak dan pembentukan tingkah laku. Setiap pelukan, senyuman, dan suara yang didengari sebenarnya sedang membina asas yang kuat untuk mereka memahami dunia.








