'Kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri' - Pakar | The Reporter

‘Kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri’ – Pakar

Mahkamah Koroner dengar keterangan pakar psikiatri mengenai autopsi psikologi kes kematian Zara Qairina
Zara Qairina

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Koroner diberitahu bahawa hasil autopsi psikologi terhadap kematian remaja, Zara Qairina Mahathir, adalah paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri.

Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr Chua Sze Hung dari Hospital Mesra Bukit Padang berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan ketidakseimbangan antara faktor risiko yang lebih dominan berbanding faktor pelindung, sekali gus meningkatkan kerentanan terhadap tingkah laku bunuh diri. Menurutnya, tindakan tersebut dipercayai berlaku dalam keadaan tekanan akut yang melampau, dengan penilaian terganggu dan bukan dirancang secara teliti.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau turut memaklumkan tiada bukti kukuh menunjukkan mangsa ditolak secara fizikal. Walaupun terdapat tanda seperti emosi tidak stabil, kemarahan dan tingkah laku mencederakan diri, ia tidak mencukupi untuk membuat diagnosis gangguan personaliti atau penyakit mental yang teruk sebelum kejadian.

Dalam keterangannya, Dr Chua menjelaskan bunuh diri merupakan fenomena kompleks yang tidak semestinya berkait dengan gangguan mental yang boleh didiagnosis. Statistik juga menunjukkan sebahagian kes berlaku tanpa sejarah masalah kesihatan mental yang jelas, termasuk dalam kalangan remaja.

Baca juga:

Bagi kes ini, antara faktor risiko dikenal pasti termasuk tekanan hidup, persepsi diri negatif, konflik keluarga, persepsi dibuli, prestasi akademik lemah serta sejarah mencederakan diri. Faktor pencetus pula melibatkan peristiwa tekanan seperti soal siasat dan perasaan terasing, selain kekurangan tidur kronik.

Laporan psikiatri setebal 84 muka surat itu disediakan hasil analisis maklumat daripada 40 individu yang juga merupakan saksi dalam inkues ini serta laporan berkaitan dengan kejadian tersebut.

Pasukan penilai terdiri daripada tiga pakar berpendapat autopsi psikologi merupakan pendekatan paling sesuai bagi menentukan kebarangkalian punca kematian serta keadaan yang menyumbang kepada insiden tersebut.

“Laporan ini memberi tumpuan utama kepada isu kebarangkalian sama ada Zara Qairina membunuh diri, dan jika ya, dalam keadaan bagaimana ia mungkin berlaku,” kata Dr Chua.

Related Posts